Wai Ching tawan Menara Merdeka 118, peranan sebagai bapa jadi cabaran

1 day ago 7

KUALA LUMPUR – Pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching mengakui cabaran sebagai bapa memberi kesan terhadap persediaannya, namun tetap berjaya mencatat kemenangan dalam Kesuma Merdeka 118 Vertical Challenge 2026, hari ini.

Menurutnya, catatan masa 16 minit 03 saat untuk menamatkan pendakian 2,845 anak tangga setinggi 118 tingkat itu tetap membanggakan walaupun tidak mencapai sasaran peribadi.

“Gembira, itu yang pasti. Walaupun tidak mencapai masa sasaran 15 minit 30 saat, tapi 16 minit 03 saat ini pun saya sangat bangga,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas Kesuma Merdeka 118 Vertical Challenge 2026 di Merdeka 118 hari ini.

Katanya, kurang tidur kerana menjaga bayi berusia lima bulan turut memberi cabaran menjelang hari pertandingan tersebut.

“Memang banyak cabaran menjadi seorang ayah. Saya tabik kepada semua ibu bapa di luar sana, bukan senang hendak urus keluarga dan dalam masa sama perlu mengekalkan prestasi sebagai atlet,” ujarnya.

Wai Ching berkata, perubahan rutin latihan terpaksa dilakukan disebabkan komitmen sebagai bapa selain isterinya juga bergelar atlet.

Katanya, jika sebelum ini dia mampu menjalani latihan dua sesi sehari, kini hanya mampu melakukan satu sesi bagi latihan berintensiti tinggi.

“Sekarang saya kena ubah cara latihan. Saya perlu menjaga anak apabila isteri keluar berlatih. Kadangkala latihan terganggu kerana bayi menangis,” ujarnya.

Bagaimanapun Wai Ching tetap berbangga apabila berjaya mencatatkan rekod Malaysia Book of Records sebagai individu terpantas memanjat Menara Merdeka 118.

Acara tersebut dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sempena Sambutan Hari Pekerja 2026 dengan penyertaan kira-kira 2,500 peserta dari dalam dan luar negara.

Program itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |