PETALING JAYA – Seorang wanita didakwa sedang dalam pantang selepas bersalin, dikecam orang ramai apabila dikatakan makan dan minum di siang hari pada bulan Ramadan dengan menunjukkannya menerusi siaran langsung pada akaun TikTok.
Tangkap layar siaran langsung itu tular di media sosial, manakala wanita yang didakwa membuat siaran langsung tersebut dipercayai telah menukar tetapan akaun TikToknya kepada tetapan peribadi, sekali gus tidak dapat dilihat pengguna lain yang bukan pengikutnya.
Pada video yang tular berkenaan, wanita itu menjawab beberapa soalan daripada pengguna media sosial termasuk ada yang bernada sindiran, malah didakwa makan dan minum semasa siaran langsung dibuat.
“Saya agama Islam awak, minum dulu tercekik (sambil ketawa). (Baca komen) ‘hormatlah dengan orang berpuasa’, ‘tak suka, boleh angkat kaki, boleh jalan’, ‘dalam pantang ke kak’, aah dalam pantang. (Baca komen) ‘wah tak puasa’, aah tak puasa.
“(Baca komen) ‘bangganya’, ya bangga, korang masuk live saya ni siapa suruh. (Baca komen) ‘kenapa suka tunjuk?’, saja, tak boleh ke? (Baca komen) ‘tak belajar agama, tak belajar adab’, ye lah awak tak belajar agama, tak belajar adab,” katanya dalam video berkenaan.
Sementara itu, orang ramai marah dengan perbuatan wanita itu yang didakwa tidak menghormati bulan Ramadan dan mereka berharap pihak berkuasa boleh mengenakan tindakan terhadapnya.
“Jabatan agama Islam dah boleh tangkap orang minum, sedangkan makan kat kedai pun dah kena tangkap. Jabatan agama Islam, buat kerja cepat bertindak,” komen pengguna TikTok Alongbezza.
“Semoga pihak berwajib jalankan apa yang patut ye,” kata Zaraz Araz.
“Tak hormat netizen tak apa, tapi tolong hormat bulan Ramadan kak,” kata Uppercaseletty.
“Tak perlu kot tunjuk dalam live tengah makan,” kata Abg Lan Wira82. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































