PETALING JAYA – Nampaknya orang ramai masih keliru mengenai ketetapan agar mereka yang tinggal di bangunan tinggi melalui waktu syuruk atau subuh lebih awal, manakala maghrib lebih lewat sehingga tiga minit.
Perkara tersebut sekali gus mempengaruhi waktu bersahur serta berbuka individu yang tinggal di tingkat tinggi berbanding mereka yang berada di bawah.
Terdahulu, seorang pengguna di Thread, @hakeimchi membuat hantaran serta makluman bahawa individu yang duduk dan berbuka puasa di hotel terkemuka di Menara Merdeka 118, pejabat di aras 80 ke atas perlu menunggu lebih tiga minit untuk berbuka berbanding di aras bawah.
Bagaimanapun, hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai sehingga terdapat segelintir yang mempertikaikan pengguna tersebut.
“Arahan mufti mana ni.? Lewat berbuka tiga minit, Menara PNB (Menara Merdeka 118) terletak di Kuala Lumpur ikut waktu wilayahlah. Mudah.” ujar seorang pengguna.
Sebilangan besar pengguna Thread pula tampil mempertahankan @hakeimchi bahawa perkara tersebut benar sekali gus memberitahu notis berkenaan perkara tersebut telah dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan seawal tahun 2013.
“Kena belajar lagi, waktu azan di bawah tidak sama dengan atas. Sebabnya matahari terbenam tidak sama di bawah dan atas. Tidak tahu bertanya,” ujar @2ulhusn1.
“Berbuka ikut matahari terbenam. Dah kalau duduk di tingkat puluh-puluh masih nampak matahari dengan clearnya apa ke benda nak berbuka,” kata @rachet__8mm.
“Sama kes berbuka atas kapal terbang. UAI (Ustaz Azhar Idrus ada terangkan. Selagi nampak matahari belum terbenam tak boleh berbuka puasa,” komen @azmanrosli89.
Hasil semakan mendapati perkara tersebut sudah diperjelaskan oleh Mufti Negeri Pulau Pinang, Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman dalam segmen Dari Meja Mufti (DMM) menerusi hantaran di Facebook Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang pada Disember 2025.
“Buat mereka yang berada di tempat tinggi bagi waktu solat maghrib adalah lebih lewat dan pengurangan bagi waktu syuruk (subuh) adalah lebih awal seperti berikut iaitu satu minit jika berada di ketinggian antara 100 ke 200 meter.
“Dua minit jika berada di kedudukan antara 200 ke 400 meter, tiga minit jika berada di ketinggian antara 500 ke 800 meter dan empat minit jika berada di ketinggian antara 800 ke 1,000 meter,” katanya.
Beliau turut memberikan contoh bahawa individu yang berada di bangunan Komtar di George Town pada ketinggian lebih 200 meter, maka dia hanya boleh berbuka puasa dua minit selepas azan maghrib.
Untuk makluman ketinggian Menara Merdeka 118 adalah 678.9 meter, Menara Berkembar Petronas (KLCC) (451.9 meter) dan The Exchange 106 (TRX) (445.5 meter). -KOSMO! ONLINE.

17 hours ago
7

















































