TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkasa penggunaan tulisan jawi dalam setiap medium hebahan majlis rasmi universiti tersebut sebagai usaha progresif memartabatkan warisan negara.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pelaksanaan itu selaras dengan aspirasi universiti yang menekankan nilai adab, akhlak dan jati diri melibatkan warga kampus.
“Sehubungan itu, penggunaan tulisan jawi akan turut diperluaskan dalam bahan komunikasi rasmi majlis termasuk kain rentang (banner), poster dan paparan visual program universiti.
“UPSI akan mengangkat kembali tulisan Jawi dalam majlis-majlis universiti sebagai sebahagian daripada usaha kembali kepada akar dan asal usul bangsa serta pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Executive Talk 5.0: Kelestarian Kewangan UPSI Pasca Krisis Asia Barat di Auditorium Utama, UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim hari ini.
Katanya lagi, UPSI sebagai universiti pendidikan tertua negara perlu memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya dan sejarah bangsa Melayu termasuk penggunaan tulisan jawi yang menjadi lambang ketamadunan ilmu.
“Usaha ini seiring dengan pendekatan universiti yang kini membawa slogan ‘Adab, Akhlak, Akademik’. Semua warga universiti perlu sentiasa menghargai sejarah penubuhan institusi berkenaan yang bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC) sebelum berkembang menjadi UPSI sekarang.
“Kita harus tahu di mana asal usul kita, kita harus bangga di mana kita bermula dan kita harus mewarisi sejarah ini buat selama-lamanya,” katanya.
Beliau turut menyentuh pelbagai agenda transformasi universiti termasuk reformasi latihan mengajar, penyesuaian kaedah penilaian pelajar dalam era kecerdasan buatan (AI), pengukuhan budaya akademik serta langkah penjimatan susulan cabaran kewangan semasa. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
7




![[VIDEO] Berjalan kaki di KL umpama berjuang untuk hidup](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-18-at-22.58.55-1.jpeg)


![[VIDEO] ‘Seperti movie Hollywood, hakikatnya ia dihadapi aktivis GSF 2.0’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-18-at-20.49.52.jpeg)






![[VIDEO] Bakar suar buat kecoh di Bukit Bintang, suspek dicari](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-18-at-14.52.45.jpeg)


![[VIDEO] ‘Sampaikan ada ibu berpantang terpaksa rayu mat rempit bersurai’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-18-at-1.15.52-PM.jpeg)




























