Ubah suai motosikal secara ekstrem undang risiko maut

55 minutes ago 2

IPOH – Tindakan mengubah suai motosikal secara ekstrem termasuk membuang brek belakang hanya kerana mahu mengejar trend boleh mengundang risiko kemalangan serius hingga meragut nyawa penunggang dan pengguna jalan raya lain.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, pihaknya mengesan motosikal yang diubah suai sehingga sistem brek belakang dibuang dan hanya bergantung kepada brek hadapan.

Katanya, selain sistem brek, pengubahsuaian tayar kepada saiz terlalu kecil dan pemasangan ekzos yang menghasilkan bunyi melebihi had turut dikesan dalam operasi yang dijalankan pihaknya.

“Kesemua pengubahsuaian ini memberi kesan kepada kestabilan motosikal dan kecekapan membrek, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

“Bagi sistem brek, yang paling menakutkan apabila brek belakang dibuang dan hanya ada brek hadapan. Seolah-olah mereka mahu cepat menemui tuhan,” katanya dalam sidang akhbar Op Motosikal Ekstrem di Depoh Sita JPJ Perak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kos pengubahsuaian motosikal bergantung kepada kemampuan pemilik, dengan harga ekzos sahaja boleh mencecah antara RM500 hingga RM2,000.

Katanya, jumlah itu belum termasuk kos pengubahsuaian komponen lain seperti sistem enjin, kemasan dan aksesori yang dipasang pada motosikal.

“Saya dimaklumkan terdapat pemilik yang sanggup membelanjakan sehingga RM15,000 bagi melakukan pelbagai pengubahsuaian terhadap sebuah motosikal,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, JPJ Perak akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengekang penawaran alat ganti yang menyumbang kepada pengubahsuaian ekstrem.

Katanya, operasi bersepadu itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan syarikat dan kedai-kedai alat ganti.

“Kita akan lihat dari sudut ‘supply and demand’. Kita mahu kurangkan penawaran supaya keperluan itu tidak terus wujud dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan, bagi tempoh 1 Januari hingga semalam, sebanyak 247 kesalahan membabitkan motosikal berjaya dikesan dengan 21 kes dikenal pasti melakukan pengubahsuaian ekstrem yang melanggar spesifikasi dibenarkan.

Katanya, daripada tiga operasi yang dijalankan, sebanyak 146 motosikal diperiksa, 79 daripadanya diambil tindakan manakala 37 motosikal dikenakan tindakan sita.

“Setiap motosikal akan diperiksa dari aspek spesifikasi teknikal, nombor casis dan enjin, lesen memandu, cukai jalan serta perlindungan insurans sebelum tindakan diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |