KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brendon Carolan enggan membiarkan tiga perlawanan tanpa kemenangan mematahkan semangat Speedy Tigers apabila mahu anak buahnya menggunakan saingan kumpulan H untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.
Malaysia menutup kempen kumpulan B Piala Dunia Hoki Lelaki 2026 dengan kekalahan 3-5 kepada Belgium, kelmarin sekali gus menyaksikan skuad negara menamatkan saingan di kelompok bawahan kumpulan.
Bagaimanapun, Carolan melihat perkembangan positif dalam permainan anak buahnya terutama ketika berdepan Belgium apabila sistem pertahanan baharu yang diterapkan semakin menunjukkan hasil biarpun beberapa kelemahan kecil masih perlu diperbaiki.
“Saya fikir kami mempamerkan aksi yang baik . Sudah tentu kami mahukan keputusan positif kerana itu sentiasa menjadi sasaran kami.
“Pemain bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan sistem pertahanan baharu dan sekarang kami hanya perlu memperhalusi beberapa perkara kecil yang boleh memberikan perbezaan pada tahap ini,” katanya.
Dalam aksi tersebut, Malaysia ketinggalan menerusi dua jaringan Tom Boon pada minit ke-16 dan 19 sebelum Nik Aiman Nik Rozemi merapatkan kedudukan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-31.
Boon melengkapkan hatrik menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35 sebelum kapten negara, Marhan Jalil membalas dua minit kemudian, namun Thibeau Stockbroekx (m-43) dan Boon (m-52) menambah dua lagi gol buat Belgium, manakala Mohamad Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-52.
Selepas ini, dua pasukan tercorot Kumpulan B akan meneruskan kempen dalam kumpulan H bersama dua pasukan terbawah Kumpulan C dengan mata yang diperoleh ketika peringkat kumpulan dibawa ke pusingan berkenaan, manakala pasukan daripada kumpulan sama tidak akan bertemu sekali lagi.
“Kami perlu membuat persiapan sebaik mungkin kerana mahu memperbaiki ranking dunia. Saya fikir kami sedang bermain dengan agak baik dan perlu memastikan benar-benar bersedia untuk menghadapi siapa sahaja lawan selepas ini,” katanya.

1 hour ago
2









































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)



![[VIDEO]’Liza Hanim nak tumpang populariti saya, tak perlu melatah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/ameng-liza.jpg)

