PETALING JAYA – Tindakan pantas kru penerbangan Malaysia Airlines (MAS) membatalkan proses berlepas selepas sebuah pesawat didakwa mengalami masalah enjin di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun pagi tadi mendapat pujian pengguna media sosial.
Kejadian melibatkan penerbangan MH89 menuju Kuala Lumpur itu dikongsikan pengguna Threads, @Mfahadnaimb yang mendakwa pesawat Airbus A330-300 berkenaan sedang melakukan larian berlepas kira-kira pukul 10.40 pagi sebelum asap hitam kelihatan keluar dari bahagian belakang enjin sebelah kiri.
Menurutnya, kru penerbangan bertindak segera membatalkan proses berlepas susulan kejadian tersebut.
“Pesawat mula melakukan larian berlepas sebelum enjin kiri secara tiba-tiba mengeluarkan asap hitam dari bahagian belakang. Kru kemudian segera membatalkan proses berlepas.
“Terdapat lebih 160 individu di dalam pesawat dan tiada sesiapa dilaporkan cedera,” katanya.
Dakwanya, landasan A kemudiannya ditutup selama beberapa jam bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan selain serpihan yang dipercayai daripada pesawat dikutip.
Katanya, jentera bomba turut berada di lokasi sebelum pesawat berkenaan ditunda keluar, manakala operasi di landasan B diteruskan seperti biasa.
Pengguna itu turut berpandangan keadaan berkenaan mempunyai ciri-ciri compressor surge, iaitu gangguan aliran udara dalam pemampat enjin.
“Apabila pemampat tidak dapat mengekalkan tekanan, aliran udara boleh berbalik seketika sehingga menghasilkan letupan. Ketika larian berlepas, antara punca yang lazim dikaitkan dengan keadaan seperti ini ialah objek asing atau burung yang boleh mengganggu aliran udara sehingga mencetuskan surge,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, @Madnoor7 memuji tindakan kru yang disifatkan berjaya mengawal pesawat dengan pantas ketika berdepan situasi berkenaan.
“Kru melakukan tugas yang sangat baik. Pesawat dapat dilihat membelok ke kiri akibat tujahan tidak simetri antara enjin yang beroperasi normal dengan enjin bermasalah, namun keadaan itu segera dikawal.
“Pada peringkat awal berlepas, arah pesawat sukar dikawal apabila berlaku tujahan tidak simetri. Kejadian ini menunjukkan betapa pentingnya tindakan kru dalam menangani kegagalan sistem,” katanya.
Setakat ini, punca sebenar kejadian serta status teknikal pesawat berkenaan masih menunggu pengesahan rasmi pihak berkaitan. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2









































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)



![[VIDEO]’Liza Hanim nak tumpang populariti saya, tak perlu melatah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/ameng-liza.jpg)

