Kuartet 4x400m Pulau Pinang tamat kemarau emas 28 tahun

55 minutes ago 2

SERDANG -Penantian panjang Pulau Pinang untuk menamatkan kemarau pingat emas selama 28 tahun dalam acara 4×400 meter (m) lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) akhirnya berakhir di Selangor dan lebih manis kuartet muda bawah 19 tahun itu mencipta rekod baharu kejohanan.

Kuartet Pulau Pinang yang dibarisi Y. Denishwar, K. Venket Prabu, Muhamad Farhan Mohd Isrulnizam dan Muhammad Sayyid Amin Roslan melakukan larian bertenaga mereka dengan catatan masa 3 minit 11.840 saat (s) untuk muncul juara di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) sebentar tadi.

Catatan itu turut memadam rekod Sukma 3:12.35s milik kuartet Johor yang dilakar pada Sukma Sarawak 2024 yang ketika itu dibarisi Umar Osman, Muhammad Aiman Najmi, Mohamad Akmal Haziq, Wills Harnessy Gindal.

Lebih bermakna, kejayaan itu mengakhiri penantian panjang Pulau Pinang yang kali terakhir meraih emas acara berkenaan ketika Selangor menjadi tuan rumah Sukma pada edisi 1998.

Pingat perak menjadi milik Selangor dengan catatan 3:13.520s, manakala Kedah meraih gangsa menerusi catatan 3:14.090s.

Sayyid berkata, kejayaan itu hadir hasil gabungan empat pelari yang turun tanpa pernah menjalani latihan bersama sebelum Sukma kali ini.

KUARTET Pulau Pinang mencipta sejarah meraih pingat emas dalam tempoh 28 tahun pada Sukma Selangor 2026.- AMIR KHALID

“Saya nak ucapkan Alhamdulillah kerana kalau bukan kerana rezeki yang Allah beri kepada kami hari ini, kami tidak akan menang dan tidak akan mencipta rekod. Ini semua rezeki daripada Allah dan kami sangat bersyukur.

“Ini kali pertama kami berlari sebagai satu pasukan. Malah kami tidak pernah menjalani latihan bersama sebelum ini, tetapi hari ini kami dapat mencipta sejarah untuk Pulau Pinang. Sebelum kejohanan bermula, saya cakap kepada mereka, ini acara terakhir. Jadi buat apa sahaja yang boleh.

“Ini adalah masa kita. Jangan takut kerana kita semua sudah berlatih dan mahu buktikan kemampuan. Setiap daripada kami lakukan sekitar 47 saat dan saya bangga dengan rakan sepasukan saya,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Menurut Sayyid, kejayaan itu membuktikan Pulau Pinang tidak boleh lagi dipandang rendah dalam acara olahraga, terutama selepas kuartet muda itu berani mencabar negeri-negeri yang lebih berpengalaman.

“Ini tanda yang sangat baik kerana sebelum ini Pulau Pinang tidak pernah memenangi acara berganti-ganti di Sukma mahupun MSSM. Hari ini kami turun sebagai satu pasukan dan mencipta sejarah.

“Saya percaya satu hari nanti Pulau Pinang boleh menjadi kuasa baharu. Kami mahu buktikan bahawa Pulau Pinang juga mempunyai kemampuan dan tidak boleh dipandang rendah,” katanya.

Kejayaan itu sekali gus memberikan suntikan keyakinan buat pasukan olahraga Pulau Pinang untuk membina generasi pelari baharu yang mampu mencabar dominasi negeri lain dalam acara berganti-ganti.

“Insya-Allah, kalau diberikan rezeki, kami akan kembali pada Sukma akan datang. Ini baru permulaan dan kami mahu lebih banyak kejayaan untuk Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, dalam acara 4x400m wanita, Terengganu muncul juara selepas mencatat masa 3:51.35s. Kuartet yang dibarisi Nur Aira Rusdi, Nur Aliya Najhah Muda, Nur Farishah Ardeana Abdullah dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira itu menewaskan Johor yang meraih perak dengan catatan 3:55.29s, manakala Sabah membawa pulang gangsa selepas mencatat 4:01.28s. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |