Nilai pasaran produk bakeri bakal cecah RM34.80 bilion

8 hours ago 9

PETALING  JAYA – HSS Holdings Berhad (HSS Holdings) optimis terhadap pasaran produk bakeri Malaysia yang kekal positif dengan momentum pertumbuhan tahunan adalah sebanyak 7.8 peratus.

Nilai pasaran tersebut dijangka mencecah sehingga RM34.80 bilion menjelang tahun 2030.

Pengarah Urusan HSS Holdings, Goh Chen Chang berkata, bersandarkan pertumbuhan pasaran yang bernilai tinggi, ia telah memberi peluang kepada syarikat untuk  mengukuhkan lagi kehadirannya dan menguasai bahagian pasaran yang lebih besar.

“Selain pengembangan kapasiti, kami akan terus menumpukan pada inovasi produk, pengembangan pasaran, pembangunan jenama dan peningkatan operasi untuk mengukuhkan kedudukan daya saing kami dan menyokong pertumbuhan jangka panjang Kumpulan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi keputusan kewangan syarikat  pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (S2TK2026)  hasil dicatatkan sebanyak RM25.7 juta dan untung kasar (GP) sebanyak RM4.5 juta.

Hasil adalah lebih rendah berbanding suku sebelumnya (S1TK2026) sebanyak RM48.1 juta, yang mendapat manfaat daripada permintaan yang lebih kukuh semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya, manakala S2TK2026 mencerminkan permintaan bermusim yang lebih rendah yang biasanya dialami semasa tempoh luar puncak.

Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM2.4 juta untuk suku Kedua TK2026, berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM5.6 juta pada Suku Pertama TK2026.

Prestasi ini terjejas disebabkan hasil yang lebih rendah semasa tempoh luar puncak serta pengiktirafan kira-kira RM2.9 juta dalam perbelanjaan sekali sahaja yang timbul daripada penyenaraian HSS Holdings di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 23 Jun 2026.

Bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 30 Jun 2026 (1HFY2026), Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM73.8 juta dan keuntungan kasar sebanyak RM14.3 juta. –KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |