Tiada istilah tanah adat atau tanah warisan – Sultan Pahang

20 hours ago 8

ROMPIN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada istilah tanah adat atau tanah warisan yang memberi hak menduduki tanah secara bebas oleh mana-mana pihak di Semenanjung Malaysia khususnya di negeri ini.

Tegas baginda hak menduduki tanah oleh masyarakat Orang Asli hanya wujud melalui pewartaan yang sah oleh pihak kerajaan sebagaimana diperuntukan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954.

Selain daripada itu tegas baginda mana-mana pendudukan, penerokaan atau penguasaan tanah tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.

“Dalam menjaga kedaulatan negeri ini agar terus aman, makmur dan sejahtera saya ingin menegaskan bahawa isu pencerobohan tanah bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang ringan, ia bukan juga bermusim yang hangat seketika.

“Ia adalah barah yang telah lama berakar, merosakkan sistem pentadbiran tanah, mencabar kedaulatan undang-undang dan menzalimi hak negeri serta rakyat,”titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Sultan Haji Ahmad Shah teluk Gading dan Majlis Berbuka Puasa di sini semalam.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan 21 individu terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita Orang Asli ditahan kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang berhampiran Kampung Jemeri di sini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, berdasarkan laporan sekumpulan individu telah menceroboh dan merosakkan palang besi serta memotong buah kelapa sawit di kawasan ladang milik seluas 718.281 hektar tanpa kebenaran.

Menurut Al-Sultan Abdullah tanah yang telah diwartakan sebagai kawasan pendudukan Orang Asli di negeri ini melibatkan 27 kampung seluas 7,706 hektar.

Kata baginda sebanyak 83 kampung Orang Asli dalam proses ukur dan 18 kampung belum melalui permohonan warta melibatkan dengan keluasan 24,532 hektar manakala tanah yang masih belum diukur melibatkan 61 kampung seluas 16 kampung seluas 16,253 hektar.

“Saya meletakkan sepenuh harapan kepada pihak kerajaan negeri dan Persekutuan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) agar tidak sama sekali mengabaikan kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli sebaliknya melaksanakan perlindungan secara holistik, berperingkat dan tanpa henti di bawah peruntukan undang-undang.

“Namun jangan sesekali menjadikan proses ini sebagai alasan untuk menceroboh, menguasai, membuka ladang haram dan mengeksploitasi tanah negeri,”titah baginda.

Sementara itu menyentuh isu pencerobohan tanah berhampiran Kampung Orang Asli Jemeri di sini Al-Sultan Abdullah bertitah baginda dimaklumkan ada pihak-pihak yang menjadi tali barut kepada Orang Asli.

Baginda bertitah akan melihat perkara ini dari semasa ke semasa dan pihak polis akan memberi nama pihak terbabit kepada baginda dalam tempoh terdekat.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |