Sukma Selangor diteruskan secara berhemah

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai status penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 akhirnya terjawab apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan supaya temasya dwitahunan itu diteruskan mengikut jadual asal pada Ogos.

Keputusan tersebut menyaksikan temasya sukan terbesar negara itu kekal dilangsungkan bermula 15 hingga 24 Ogos 2026, namun dengan penekanan khusus kepada aspek perbelanjaan secara berhemah dan langkah penjimatan.

Lampu hijau tersebut diberikan Baginda selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu, bagi membincangkan masa depan penganjuran edisi ke-22 itu.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, menjunjung kasih di atas keprihatinan Baginda Sultan Selangor yang menyokong kelangsungan pembangunan sukan peringkat akar umbi.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang sentiasa meletakkan kepentingan serta masa depan atlet muda negara sebagai keutamaan dalam setiap pertimbangan.

“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor susulan inisiatif perbincangan oleh Perdana Menteri, khususnya keprihatinan terhadap atlet-atlet muda yang wajar terus diberi peluang bertanding di peringkat tertinggi.

“Tambahan pula Sukma 2026 ini adalah antara medan pemilihan dan persiapan atlet-atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di negara kita pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, penganjuran di bumi Selangor itu turut mendapat jaminan kerjasama penuh daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi memastikan setiap perancangan berjalan lancar dan efektif.

Bagi memperincikan persediaan tersebut, Taufiq dijadualkan menghadap Sultan Selangor pada Rabu ini bersama barisan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor.

Sesi menghadap itu bertujuan memaklumkan perkembangan terkini serta gerak kerja yang telah disusun oleh pihak kementerian dan kerajaan negeri setakat ini.

Satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga akan diadakan pada Khamis, 30 April ini, yang bakal dimanfaatkan oleh Sekretariat Sukma Selangor 2026 untuk membentangkan status persiapan.

Fokus utama mesyuarat tersebut adalah untuk memperincikan langkah-langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras dengan titah perkenan Baginda Sultan Selangor bagi memastikan penganjuran tidak melibatkan pembaziran.

“Sebarang maklumat tambahan berkenaan SUKMA Selangor 2026 akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA diadakan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |