TEHRAN – Kumpulan pelajar di beberapa buah universiti di Iran mengadakan protes antikerajaan semalam, demontrasi pertama seumpamanya yang diadakan pada skala itu sejak tindakan keras pihak berkuasa bulan lalu, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Rakaman video yang disahkan memaparkan penunjuk perasaan berarak di kampus Universiti Teknologi Sharif di ibu negara, Tehran sambil melaungkan slogan antikerajaan.
Pergaduhan kemudian dilihat tercetus antara mereka dengan kumpulan penyokong kerajaan.
Satu perhimpunan secara duduk turut diadakan di sebuah lagi universiti di Tehran, manakala satu demonstrasi berlangsung di timur laut.
Demonstrasi berskala besar turut berlaku di sejumlah lokasi lain lewat semalam, dengan seruan untuk perhimpunan selanjutnya diadakan hari ini.
Kumpulan pelajar itu turut memperingati beribu-ribu orang yang terbunuh dalam protes besar-besaran Januari lepas.
Pergolakan itu pertama kali tercetus pada Disember tahun lalu ekoran tekanan ekonomi yang berpanjangan, sebelum meletus menjadi protes antikerajaan besar-besaran yang dicemari tindakan keras pasukan keselamatan.
Pihak berkuasa mengakui bahawa lebih 3,000 kematian dilaporkan, tetapi menegaskan bahawa keganasan itu berpunca daripada tindakan pengganas yang dicetuskan oleh musuh Iran.
Kerajaan juga pada mulanya mengakui tuntutan ekonomi yang diketengahkan penunjuk perasaan, namun apabila demonstrasi ‘bertukar nada’ menjadi antikerajaan secara terang-terangan, mereka menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendalangi rusuhan.
Protes baharu itu berlaku ketika AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya berhampiran Iran, dengan Presiden Donald Trump berkata, beliau sedang mempertimbangkan serangan ketenteraan yang terhad ke atas negara itu. – AFP/AGENSI

18 hours ago
7

















































