‘Bulan puasa elakkan sakiti hati, banyakkan memuji walau pahit’

15 hours ago 8

PETALING JAYA – Kesabaran perlu menebal, penyanyi dan cef selebriti, Fazley Yaakob berkongsi pesanan kepada orang ramai agar menjaga tutur kata serta emosi sepanjang bulan Ramadan, terutama ketika berinteraksi dalam kehidupan harian mahupun dalam media sosial.

Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob, 48, menegaskan tempoh berpuasa bukan semata-mata menahan lapar dan dahaga, sebaliknya turut menuntut kesabaran tinggi dalam mengawal hati serta perasaan.

“Bulan puasa ini cubalah elakkan daripada menyakiti hati orang lain. Banyakkan memuji dan berkata manis walaupun pahit.

“Jika makanan tidak sedap, diamkan sahaja. Kalau orang membunyikan hon, senyum saja. Jika orang mengumpat, buat tidak tahu dan jangan ikut serta.

“Sebelum memuat naik apa-apa dalam media sosial, fikir berkali-kali supaya tidak nampak kurang cerdik atau tak sensitif. Orang sedang menahan lapar dan dahaga, emosi memang mudah terusik,” katanya dalam Threads.

Dalam perkongsian lain, pelantun lagu Asmara Ini itu turut menzahirkan penghargaan kepada majikan yang memberi kelonggaran kepada pekerja untuk pulang lebih awal sepanjang Ramadan.

Katanya, sikap bertolak ansur sedemikian mencerminkan keprihatinan serta empati terhadap cabaran dihadapi golongan pekerja ketika menjalani ibadah puasa.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada majikan yang membenarkan pekerja pulang awal bagi membuat persiapan berbuka.

“Tidak kira rumah pekerja jauh atau dekat, sama ada mahu memasak sendiri atau membeli di bazar Ramadan, toleransi sebegitu sangat bermakna.

“Sikap prihatin seperti itu membezakan majikan yang benar-benar memahami kebajikan pekerja,” ujarnya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai apabila rata-rata netizen bersetuju bahawa bulan Ramadan seharusnya menjadi medan memperbaiki akhlak dan hubungan sesama manusia.

Ada juga yang berkongsi pengalaman bekerja dengan majikan prihatin, selain meluahkan harapan agar lebih banyak organisasi mengamalkan waktu kerja fleksibel sepanjang bulan mulia itu. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |