21 PATI Myanmar dicekup lepas ‘lolos’ ikut perairan Kelantan

14 hours ago 8

KOTA BHARU – Seramai 21 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk seorang tekong darat dari negara tersebut dicekup di kawasan tempat letak kereta di belakang sebuah hotel di Wakaf Che Yeh di sini semalam.

Kesemua PATI termasuk 12 orang wanita berusia dalam lingkungan 17 hingga 40 tahun itu ditahan di dalam enam buah kenderaan menerusi Ops Serkap selepas mereka baru sahaja masuk ke negara ini secara haram melalui jalan laut.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi itu dijalankan kira-kira pukul 7.05 pagi oleh 11 orang pegawai Bahagian Penguat Kuasa JIM Kelantan selepas menjalankan risikan di kawasan tersebut.

Menurutnya, hasil pemantauan mengesan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton X90 dan Nissan Serena selain dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) iaitu Honda HR-V dan Perodua Aruz yang disyaki digunakan untuk mengangkut kesemua PATI ke luar Kelantan.

“Pegawai terlibat telah membuat halangan di laluan masuk dan keluar tempat letak kenderaan itu semasa serbuan dijalankan. Beberapa PATI dan pemandu kenderaan cuba meloloskan diri, namun mereka berjaya ditahan.

“Seramai 28 PATI warga Myanmar termasuk tekong darat berusia 31 tahun dicekup di kawasan tersebut. Kesemua PATI mengaku mereka baru sahaja memasuki negara ini secara haram menggunakan jalan laut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Akhtarulhaq memberitahu, pegawai JIM membuat pemeriksaan menyeluruh di dalam hotel itu sebelum menahan lima lelaki warga Myanmar berusia 25 hingga 36 tahun di dalam sebuah bilik.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati, kesemua lelaki itu mengaku sedang menunggu ejen bagi membawa mereka menyeberangi sempadan untuk pulang ke negara asal.

“Selain itu, dua lelaki warga China masing-masing berusia 32 tahun turut ditahan ketika sedang bersembunyi di dalam timbunan kotak di bumbung hotel tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, 27 orang PATI yang baru masuk ke negara ini ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang tekong darat warga Myanmar disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |