ABU DHABI, EMIRIYAH ARAB BERSATU (UAE) – Negara-negara Arab dan Islam mengeluarkan kecaman bersama hari ini terhadap kenyataan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee, yang mencadangkan bahawa Tel Aviv mempunyai hak ke atas sebahagian besar Asia Barat kerana mendakwa ia terkandung dalam kitab Injil.
Huckabee yang merupakan penyokong tegar Israel, berucap di program audio siar pengulas berhaluan kanan dan pengkritik Israel, Tucker Carlson.
Dalam satu episod yang dikeluarkan Jumaat lalu, Carlson mendesak Huckabee tentang maksud ayat dalam kitab Injil yang kadangkala ditafsirkan sebagai ‘Israel berhak ke atas tanah di antara Sungai Nil di Mesir dan Sungai Furat di Syria dan Iraq’.
Sebagai tindak balas, Huckabee berkata: “Tidak mengapa jika mereka (Israel) mengambil semuanya.”
Bagaimanapun, selepas ditekan, beliau mengatakan bahawa Israel tidak meminta untuk mengambil semua itu sambil menambah, ia sebenarnya kenyataan hiperbolik.
Kecaman terhadap kenyataan itu meluas hari ini apabila lebih 12 negara Arab dan Islam, bersama tiga organisasi serantau utama mengeluarkan kenyataan bersama yang mengecam komen sebagai ‘berbahaya dan menghasut’.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian luar UAE itu ditandatangani oleh negara tersebut, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Turkiye, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman, Bahrain, Lubnan, Syria dan Palestin, serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk.
Mereka berkata, komen tersebut melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan usaha untuk meredakan perang Gaza serta memajukan ufuk politik untuk penyelesaian yang komprehensif.
Arab Saudi menyifatkan kata-kata itu sebagai melulu dan tidak bertanggungjawab, manakala Jordan berkata, ia adalah serangan terhadap kedaulatan negara-negara di rantau tersebut.
Kementerian luar Mesir menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki atau mana-mana tanah Arab yang lain. – AFP

15 hours ago
8



















![[VIDEO] ‘Buka puasa lewat 3 minit di aras 80 ke atas Menara Merdeka 118’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-22-at-1.19.57-PM.jpeg)





























