Liga Super: Selangor FC, KL City bersaing sengit rebut No. 2

6 hours ago 7
Chrigor Moraes berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada aksi menentang Kuching City, sebentar tadi. - Foto ISKANDAR ISHAK/KOSMO!
  • Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI
  • 23 Februari 2026, 12:07 am

PETALING JAYA – Rekod kebal Selangor FC dibawah kendalian Kim Pan-gon berterusan selepas melakar kemenangan dramatik 1-0 ke atas Kuching City dalam aksi Liga Super di Stadium MB Petaling Jaya, sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, skuad Gergasi Merah terpaksa menunggu hingga ke minit ke-85 sebelum dapat memecah kebuntuan hasil jaringan tunggal penyerang sensasi, Chrigor Moraes untuk meledak gol ke-17 peribadi musim ini.

Skuad tuan rumah pada awalnya dilihat hampir ‘gigit jari’ selepas penjaga gol The Cats, Haziq Nadzli bertindak cemerlang untuk menafikan rentetan peluang keemasan khususnya menerusi situasi satu lawan satu yang dimiliki oleh Moraes dan Faisal Halim.

Keputusan itu menyaksikan skuad Merah Kuning kekal dikedudukan kedua dengan mengumpul 35 mata selepas 17 perlawanan, dua mata di hadapan Kuala Lumpur City FC dan empat mata meninggalkan Kuching di tangga keempat.

Sementara itu, di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, skuad Warga Kota tidak mempunyai masalah untuk meraih tiga mata penting hasil kemenangan bergaya 4-0 ke atas Brunei DPMM FC, sebentar tadi.

Barisan pemain KL City meraikan kejayaan selepas wisel penamat ditiupkan pada aksi Liga Super sebentar tadi. – Foto ihsan KL City

Gol-gol KL City dijaringkan oleh Safawi Rasid pada minit ke-9 dan ke-18 manakala dua lagi jaringan disumbangkan Paulo Josue (m-61) dan Victor Ruiz (m-70). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |