Peniaga dicekup berpakaian, berlagak seperti wanita di TikTok

2 hours ago 1

KOTA BHARU – Tindakan seorang peniaga makanan yang memuat naik video dengan memakai pakaian dan berlagak seperti wanita di TikTok membawa padah apabila lelaki itu dicekup Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) baru-baru ini.

Orang yang disyaki (OYDS) berusia 25 tahun dan berasal dari Kelantan itu ditahan selepas tampil memberi keterangan kepada pihak Jaheaik pada 25 November 2025.

Peguam syarie yang mewakili OYDS, Muhammad Syarafi Mohd. Salleh berkata, anak guamnya sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 19, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 atas kesalahan berkelakuan dan berlagak seperti wanita.

Menurutnya, OYDS sudah membayar bon jaminan sebanyak RM3,000 yang dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa Jaheaik pada Januari lalu sementara menunggu tarikh pertuduhan.

“Anak guam saya sepatutnya didakwa di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan kerana tempoh matang bon jaminan itu berakhir hari ini. Disebabkan ada beberapa isu teknikal yang melibatkan kertas siasatan, pendakwaan kes itu tidak dapat dijalankan.

“Justeru kita akan memohon lanjutan tempoh bon jaminan tersebut. Jika tiada sebarang permohonan lanjutan dibuat atau dikekalkan jumlah yang sudah dibayar oleh OYDS, pihak penguat kuasa Jaheaik boleh mengeluarkan satu bon jaminan baharu dengan nilai yang lebih tinggi sehingga RM5,000 atau lebih RM10,000.

“Bon jaminan tersebut merupakan satu jaminan untuk memastikan kehadiran OYDS ke mahkamah. Jika tiada sebarang pendakwaan selepas tarikh yang ditetapkan selepas ini, kita akan kemukakan representasi kepada pihak pendakwaan atau penguat kuasa Jaheaik untuk menggugurkan kes tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding pengurusan kes di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan, Tunjong di sini hari ini.

Muhammad Syarafi memberitahu, beliau bersama rakan peguam, Mohd. Faqqhurudin Mohd. Nasir bagaimanapun tidak boleh mendedahkan lebih lanjut kes tersebut kerana belum menerima kertas pertuduhan dan fakta kes yang dihadapi anak guamnya daripada pihak pendakwaan.

Menurutnya, pihak peguam bela tidak mahu sebarang kenyataan yang dikeluarkan kepada pihak media bercanggah dengan kertas pertuduhan yang akan dibacakan di mahkamah kelak.

“Apa yang saya boleh jelaskan adalah OYDS sebelum ini ditahan oleh penguat kuasa Jaheaik selepas menerima satu aduan daripada orang awam mengenai tindakannya yang berpakaian dan berlagak seperti seorang wanita menerusi satu video di TikTok.

“Aduan tersebut menyebabkan OYDS dipanggil sebelum ditahan penguat kuasa Jaheaik. Kandungan video yang dimuat naik oleh anak guam tidak dapat dipastikan, namun berdasarkan maklumat yang diterima menyatakan bahawa OYDS memakai pakaian dan berlagak seperti wanita,” ujarnya.

Muhammad Syarafi berkata, tarikh bagi pertuduhan terhadap anak guamnya akan dimaklumkan kelak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |