Pengasas taska didakwa lagi

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Pengasas taska bergelar Datin didakwa lagi di tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan operasi tanpa perakuan pendaftaran yang sah awal tahun ini.

Bagaimanapun Datin Nor Fadilah Alias, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret-Majistret Khairunnisak Hassni, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan Aina Azahra Arifin.

Di hadapan Majistret Khairunnisak, Nor Fadilah didakwa menjalankan operasi dan taska tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 di sebuah taska di Sri Rampai di sini, pada 5 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Di hadapan Majistret Atiqah, Nor Fadilah bersama pengusaha cawangan, Nurul Aina Zulkifli didakwa menjalankan operasi dan taska tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 taska sama di cawangan Taman Danau Desa, Brickfields, di sini, kira-kira pukul 3.25 petang, 9 Januari lalu.

Di hadapan Majistret Aina, Nor Fadilah bersama pengusaha cawangan, Nur Khairunnisa Badrillah didakwa menjalankan operasi dan taska tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 taska sama di cawangan Taman Sutera, Cheras, pada pukul 10.15 pagi, 5 Februari lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga itu dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal, Nuriwanina Ibrahim dan Hench Goh.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM9,000 bagi Nor Fadilah untuk semua pertuduhan manakala ikat jamin Nurul Aina ditetapkan pada RM2,500 dan Nur Khairunnisa RM3,500.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Jun ini bagi serahan dokumen.

Pada Rabu lalu, Nor Fadilah dan seorang pengurus taska, telah didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |