Pemakaian pun jadi isu, nak saya pakai jubah ke? – Nabila Huda

10 hours ago 8

PETALING JAYA – Dikritik isu pemakaian ketika memasak sepanjang siri jelajah jualan makanan, pelakon Nabila Huda menyelar tindakan sesetengah pihak yang seolah-olah sengaja mencari kesalahan dalam setiap gerak-gerinya.

Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi, 42, meluahkan rasa terkilan apabila usaha yang dilakukan secara ikhlas bertukar menjadi bahan kecaman hanya disebabkan isu pemakaian.

“Saya buat sebab gembira tengok orang datang sokong, makan dan borak. Yang peliknya kenapa ramai sangat nak cari salah?

“Pemakaian pun jadi isu. Yang kecam ini ‘expect’ (jangka) saya pakai jubah ke macam mana?

“Kalian nak apa sebenarnya? Kadang-kadang sedih juga bila benda yang dibuat dengan ikhlas dan gembira bertukar jadi benda orang nak kecam setiap perkara,” katanya dalam Threads.

Pada masa sama, pelakon filem Libang Libu itu lebih selesa menjadi diri sendiri dan enggan berpura-pura semata-mata untuk memuaskan hati masyarakat atau meraih pujian.

“Saya bukan seorang hipokrit. Saya tak perlu ‘fake’ diri nampak baik, sopan dan lemah-lembut semata-mata nak buat orang sayang dan puji.

“Kalau tak suka, jangan ambill tahu. Buat muka tak tahu malu ‘stalk’ orang, lepas itu buruk-burukkan pula.

“Buanglah perasaan cemburu itu. Setiap orang ada rezeki masing-masing,” jelasnya.

Berkongsi mengenai jelajah siri jualannya, Nabila atau mesra disapa Abil itu memaklumkan aktiviti tersebut dilakukan sekadar hobi untuk berkongsi air tangannya dengan peminat.

“Ini sekadar sesuatu yang menyeronokkan. Saya nak pergi berjumpa penyokong dan beri mereka rasa masakan saya sendiri.

“Saya bukan buka restoran ‘fine dining’ pun. Saya cuma buat ‘small pop up’, masak, memandu sendiri dan tak sangka ramai yang sokong.

“Sejujurnya jelajah ini bukan niat utamanya untuk buat duit. Setiap tempat saya masak dan jual sekitar 50 hidangan sahaja. Sos pun kadang-kadang cuma 150 hingga 200 botol, mestilah habis terjual sebab stok kecil-kecilan dan ‘homemade’.

“Saya buat dengan usaha dan tenaga sendiri. Nak cakap untung besar memang tak — minyak kereta, tol, hotel, barang dapur, bahan-bahan dan sewa caravan empat hari pun dah RM2,700,” kongsinya.

Sebelum ini, tular video menunjukkan Abil sedang memasak semasa siri jelajah jualan makanannya di Melaka.

Namun, ramai yang meluahkan rasa kurang senang dengan penampilan Abil ketika memasak yang dianggap tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) penyediaan makanan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |