Pelepasan cukai yuran pusat transit anak di semak semula

2 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan yuran penghantaran anak di pusat transit selepas tamat waktu persekolahan anak akan disemak semula.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu bagi membantu ibu bapa bekerja yang memerlukan tempat jagaan untuk anak mereka.

“Kerajaan yakin menerusi pendekatan bersepadu, bersasar dan berasaskan keperluan sebenar ini boleh memperkukuh sistem penjagaan negara, memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan penjagaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) berhubung rangka kerja Malaysia Care Economy dan pelan tindakan 2026 – 2030.

Terdahulu, Nancy berkata, Objektif Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030 adalah untuk memperkukuh sistem penjagaan negara.

Jelas beliau, ia khususnya melibatkan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) berteraskan konsep Masyarakat Penyayang.

Kata beliau, satu kerangka pangkalan data berpusat akan diwujudkan bagi memudahkan akses rakyat kepada maklumat yang sistematik, cekap dan teratur.

Tambah beliau, kerajaan juga komited menjadikan tenaga kerja penjagaan sebagai satu kerjaya berkemahiran dan berstruktur selaras dengan sasaran melahirkan 50,000 penjaga profesional menjelang tahun 2030.

Dalam hal itu, katanya, kerajaan memperuntukkan RM3 juta khusus bagi latihan penjagaan dengan sasaran melahirkan seramai 1,700 orang penjaga warga emas dan OKU pada tahun 2026.

“Tahun 2026 ini juga, KPWKM akan melaksanakan Latihan Pengajar atau Training of Trainers (TOT) bagi memperluas kapasiti latihan penjagaan.

“Pada masa sama, kerajaan menyediakan insentif cukai termasuk pengecualian cukai dua kali ke atas pemberian latihan penjaga melalui institusi yang diiktiraf oleh KPWKM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |