Mega Million 3.0: ‘Heng Heng Lai’, Kempen Generasi Muda galak budaya menabung

19 hours ago 8

PETALING JAYA – Agrobank melancarkan dua kempen deposit peringkat kebangsaan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Sabah baru-baru ini yang menyasarkan penyertaan masyarakat umum serta golongan kanak-kanak dan remaja.

Agrobank dalam kenyataan memaklumkan, majlis pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua kempen berkenaan bertujuan menggalakkan amalan menabung secara berdisiplin dalam kalangan pelanggan sedia ada dan baharu selain memupuk tabiat simpanan yang konsisten sejak usia muda.

Kempen pertama, Mega Million 3.0: “Heng Heng Lai” berlangsung dari 15 Februari hingga 15 Mac ini melibatkan produk AgroPrimaS.

Katanya, ia terbuka kepada pelanggan yang membuat peletakan minimum RM50,000 dalam satu sijil dan layak menyertai cabutan bagi setiap sijil yang memenuhi syarat.

“Sebanyak lapan pemenang bakal membawa pulang kepingan emas Agrobank seberat 10 gram,” katanya.

Sementara itu, katanya, Kempen Generasi Muda yang berlangsung dari 15 Februari 2026 hingga 15 Februari 2027 melibatkan produk AgroMuda-i PLUS dan terbuka kepada kanak-kanak seawal usia satu hari hingga bawah 18 tahun.

“Peserta perlu meningkatkan Monthly Average Balance (MAB) sebanyak RM100 setiap bulan untuk melayakkan diri menerima hadiah milestone.

“Seramai 80 pemenang bulanan akan menerima kotak misteri manakala cabutan akhir menawarkan hadiah sehingga RM25,500,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, kempen tersebut mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyokong agenda literasi kewangan negara.

Menurutnya, Kempen Generasi Muda menyokong objektif Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2026–2030 (NS2.0) dengan menggalakkan amalan menabung secara berstruktur dan konsisten sejak usia muda.

“Pada masa yang sama, kempen Heng Heng Lai memupuk disiplin simpanan dalam kalangan pelanggan dewasa.

“Usaha ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembinaan isi rumah yang lebih berdaya tahan selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani,” jelasnya.

Sementara itu, Foong Hin berkata inisiatif berkenaan mampu memberi impak positif khususnya kepada masyarakat di Sabah dalam memperkukuh kestabilan kewangan keluarga.

“Galakan untuk menabung secara konsisten, terutamanya di kalangan generasi muda di Sabah, merupakan langkah penting ke arah memperkukuh dayatahan kewangan komuniti.

“Inisiatif sebegini memberi ruang kepada keluarga di Sabah untuk lebih aktif menyertai sistem kewangan formal dan merancang masa depan dengan lebih yakin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |