Lari dikejar polis sejauh 135km, rupanya bawa dadah

2 hours ago 3

ALOR GAJAH – Cubaan tiga individu melarikan diri dari pemeriksaan polis sejauh kira-kira 135 kilometer dari Serdang, Selangor berakhir apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, kereta jenis Honda City dipandu seorang wanita berusia 41 tahun gagal dikawal sebelum melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dipandu seorang lelaki tempatan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian bermula apabila sepasukan anggota kenderaan polis peronda (MPV) dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Serdang.

“Anggota bertugas telah mengarahkan kenderaan tersebut berhenti untuk pemeriksaan, namun pemandunya enggan memberi kerjasama dan bertindak memecut laju melarikan diri.

“Susulan itu, anggota MPV telah mengejar kenderaan terbabit sehingga ke persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, Alor Gajah sebelum kereta suspek hilang kawalan dan melanggar sebuah kenderaan lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kereta itu dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 43 tahun serta seorang wanita berusia 41 tahun yang merupakan pemandu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut menemukan satu paket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 2.16 gram dan satu lagi paket disyaki syabu seberat 0.65 gram.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati seorang suspek lelaki mempunyai 24 rekod jenayah dan dadah, manakala seorang lagi mempunyai lapan rekod jenayah, sementara pemandu wanita itu pula memiliki dua rekod kesalahan dadah,” ujarnya.

Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine manakala seorang lagi positif morphine.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula 30 April hingga 3 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |