Krisis Negeri Sembilan: UMNO tidak boleh berdiam diri – Jalaluddin

1 day ago 10

KUALA LUMPUR – “Apabila institusi disentuh, apabila adat dipersoalkan dan garis merah dilanggar, apakah kita harus berdiam diri?”

Itu penegasan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias susulan kemelut melibatkan institusi adat di negeri itu yang mencetuskan krisis politik baru-baru ini.

Beliau berkata, isu berkenaan bukan perkara kecil, sebaliknya menyentuh asas perjuangan UMNO yang telah dipertahankan sejak 80 tahun lalu.

Menurutnya, tiga teras utama parti iaitu Islam, kepentingan Melayu dan bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu tidak boleh dikompromi dalam apa juga keadaan.

“Dalam tempoh 80 tahun ini, pelbagai zaman dan kepimpinan silih berganti, namun prinsip perjuangan UMNO tidak pernah tumbang.

“Tiga teras menjadi pasak kepada perjuangan iaitu agama Islam sebagai asas, menjaga hak Melayu dan Bumiputera serta mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di sini hari ini.

Jelas Jalaluddin, krisis di Negeri Sembilan tercetus apabila terdapat pihak yang didakwa melanggar ‘garis merah’ berkaitan kedaulatan institusi adat seperti yang dipersetujui dalam kerjasama politik.

Katanya, dalam perjanjian antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), terdapat prinsip jelas berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam serta kedaulatan Raja-Raja Melayu yang perlu dihormati.

“Mana-mana pihak tidak boleh melanggar garis merah ini. Apabila ia dilanggar, sudah tentu mencabar persefahaman dan mencetuskan krisis,” katanya.

Menurut beliau, UMNO Negeri Sembilan mengambil pendirian tegas selepas berlakunya percanggahan melibatkan kenyataan dan tindakan berkaitan institusi adat, termasuk isu pemecatan Undang Luak yang mencetuskan polemik.

Beliau turut mendakwa kerajaan negeri gagal mengurus krisis dengan baik sehingga menjejaskan imej institusi diraja dan adat di negeri itu.

“UMNO tidak boleh menerima apabila perkara berkaitan kedaulatan, undang-undang dan adat dipermainkan. Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal prinsip,” katanya.

Tambahnya, tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan dibuat selepas menilai situasi secara menyeluruh termasuk pandangan akar umbi.

Katanya, rakyat khususnya di negeri itu mempersoalkan pendirian UMNO apabila isu institusi adat menjadi perdebatan terbuka sehingga mencetuskan kekeliruan.

“UMNO tidak meminta campur tangan kerajaan, tetapi kita mahu krisis ini ditangani dengan bijaksana. Menteri Besar sepatutnya menjadi jambatan untuk menyatukan keadaan, bukan sebaliknya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan UMNO kekal komited mempertahankan prinsip perjuangan walaupun tidak lagi dominan dan terpaksa bekerjasama dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan.

“Perjuangan ini bukan mudah. Jalannya panjang dan penuh cabaran, tetapi kita tidak boleh berkompromi dalam soal prinsip,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |