Kanak-kanak hilang dihanyut arus, keluarga harap keajaiban

1 day ago 8

KAJANG – Keluarga seorang kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras di Kondominium Sri Hijau, Bandar Mahkota Cheras di sini semalam masih berharap mangsa ditemui selamat.

Bapa saudara mangsa, Afiq Ahmad, 33, berkata, kejadian tersebut amat meresahkan keluarga yang kini menanti sebarang perkembangan.

“Sudah tentu kami sekeluarga dalam keadaan gelisah menantikan sebarang perkembangan. Walaupun peluang tipis, kami masih menaruh harapan agar mangsa ditemui dalam keadaan selamat,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurutnya, kejadian disedari kira-kira pukul 7.09 malam selepas bapa mangsa, Mohd Qayyum menerima panggilan daripada dua anak lelakinya yang memaklumkan adik mereka, Nur Qaseh Deandra terjatuh ke dalam longkang ketika mengambil bola berhampiran taman permainan di belakang kediaman mereka.

“Pasukan bomba tiba tidak lama kemudian dan menjalankan operasi mencari sehingga kira-kira pukul 12 tengah malam, namun masih belum menemui sebarang petunjuk. Kami tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar anak saudara segera ditemui pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Nordina Zulkarnain, 34, berkata, lokasi berkenaan yang merupakan padang dan taman permainan menjadi tumpuan kanak-kanak di pangsapuri itu termasuk anaknya, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum.

“Semalam dia keluar bermain kerana cuti bersama rakan-rakan lain yang juga tinggal di pangsapuri itu.

“Selepas kejadian berlaku, abang mangsa yang juga anak kedua saya naik ke rumah dan memaklumkan kepada saya serta suami,” katanya.

Menurutnya, suaminya kemudian segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan pihak bomba.

Mengulas penemuan beberapa barangan di sekitar kawasan pencarian hari ini, termasuk selipar dan bola, Nordina mengesahkan ia bukan milik anaknya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras semasa mengambil bola dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 7.08 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi.

Katanya, pencarian kini diperluaskan dengan tumpuan kepada sistem pembetungan bawah tanah di sekitar lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |