‘Kami percaya penganjur Malaysia, benda berlaku luar jangkaan’

6 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Pernah berdepan dugaan konsert dihentikan awal hingga mencetuskan kemarahan penonton, kumpulan popular Indonesia Wali Band menyifatkan insiden yang berlaku pada awal tahun ini mempunyai hikmah tersendiri.

Pemain gitarnya, Apoy, berkata kesulitan ketika konsert di sebuah lokasi di Petaling Jaya itu membawa mereka kembali ke Malaysia termasuk Sabah dengan beraksi di venue yang lebih mega.

“Alhamdulillah, peminat di Malaysia memahami bahawa perkara itu bukan kesalahan kami. Mereka tetap menyokong dan berharap kami kembali. Sebab itu kami datang semula dengan konsep ‘kembali’.

“Kami yakin berada di pihak yang benar dan berniat baik. Walaupun ada sedikit rasa marah ketika itu, akhirnya kami nampak hikmah besar iaitu dapat kembali lagi ke Malaysia dan bertemu lebih ramai peminat di tempat lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online, semalam.

Selain Apoy, kumpulan yang turut dianggotai Faank selaku vokalis serta Tomi dan Ovie mengakui teruja untuk beraksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula pukul 8 malam ini.

Menurut Faank pula, walau ada sedikit kebimbangan, mereka yakin mampu menghiburkan khalayak termasuk barisan kelompok peminat Gen Z sepanjang dua jam nanti.

“Insya-Allah semua persiapan sudah dilakukan dengan sebaik mungkin. Bermula daripada pemilihan lagu, penyusunan setlist, hingga ke sesi latihan akhir di venue tadi. Semuanya berjalan lancar.

“Jika ada pun kerisauan mungkin takut tidak dapat memuaskan penonton namun sokongan peminat menjadi ‘booster’ untuk kami tampil lebih baik sepanjang dua jam.

“Kami juga ingin bertukar tenaga dengan Gen Z biarpun kami bukan lagi (Gen Z) kerana tenaga mereka memberi semangat kepada kami dan mesej lagu kami juga sampai kepada mereka,” ujarnya.

Dianjurkan GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures, band tersebut juga bersyukur apabila dimaklumkan jualan tiket sudah melebihi 90 peratus.

Malah mereka juga mengakui kepercayaan terhadap penganjur tidak pernah terhakis selepas peristiwa pada konsert Radjawali tempoh hari.

“Stadium itu memang menarik. Kami pernah tampil di situ sebelum ini, jadi sudah biasa. Kami juga sangat berterima kasih kepada peminat di Malaysia kerana tiket telah terjual dengan pantas.

“Kami percaya kepada penganjur di Malaysia. Apa yang berlaku pada wakui itu adalah di luar jangkaan semua pihak.

“Tiada siapa mahu acara gagal. Hikmahnya, kami dapat kembali ke sini dan bahkan berpeluang ke Sabah juga. Tunggu malam esok (ini), pastinya penonton tidak akan kecewa,” kata Faank lagi.

Pada Januari lalu, konsert bersama kumpulan Radja, Konsert RadjaWali Live in Malaysia di Petaling Jaya pada Januari 2026 bertukar kecoh dan mengecewakan peminat apabila persembahan Wali Band dihentikan separuh jalan didakwa akibat melebihi had masa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |