Isu import udang Thailand dibincang intensif

8 hours ago 6

KLANG – Malaysia masih berada di peringkat rundingan dengan Thailand berhubung penggantungan sementara import lima spesies udang dari negara itu bagi memastikan aspek biosekuriti serta kepentingan industri perikanan tempatan terus terpelihara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu berkata, perbincangan antara kedua-dua negara sedang dijalankan secara intensif bagi mencari penyelesaian terbaik yang dapat menjaga kepentingan semua pihak.

“Kita masih di peringkat perundingan dan perkara ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri. Jadi, perbincangan dibuat secara intensif bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kita cuba mempertahankan hak dan kepentingan negara, manakala pihak mereka pula akan menjelaskan perkara berkaitan eksport ikan dan udang ke Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Road To MAHA 2026 peringkat Zon Tengah di Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini berhubung isu sekatan sementara import udang dari Thailand.

Mengulas sama ada Malaysia telah menerima maklum balas daripada Thailand, Mohamad berkata, pihaknya telah menerima respons yang diperlukan dan kini dalam proses penilaian.

“Maklum balas telah diterima. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menilai, mengesahkan serta mengaudit maklumat yang diberikan supaya memenuhi segala keperluan dan syarat biosekuriti negara,” ujarnya.

Pada 16 Mei lalu, Malaysia memperketatkan kawalan import produk perikanan dari Thailand menerusi penguatkuasaan keperluan CoA bagi ikan siakap serta sekatan sementara terhadap lima spesies udang bermula 1 Jun lalu.

Sekatan sementara itu membabitkan spesies udang Penaeus esculentes, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodon dan Penaeus stylirostris.

Susulan itu, Thailand dilaporkan bersedia membangkitkan isu penggantungan sementara import lima spesies udang dari negara itu oleh Malaysia di forum Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan ASEAN sekiranya rundingan dua hala gagal menyelesaikan isu berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |