Insiden bot bawa 280 migran karam bukan dalam perairan negara

2 hours ago 3

LANGKAWI – Insiden bot membawa kira-kira 250 hingga 280 migran disyaki warga Bangladesh dan Myanmar yang dilaporkan karam di Laut Andaman baru-baru ini bukan dalam perairan negara.

Ia sekali gus tidak berada di bawah bidang kuasa serta tanggungjawab operasi Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung insiden tersebut dan memohon kerjasama maklumat risikan daripada negara jiran sekiranya terdapat sebarang perkembangan.

Katanya, sebarang operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bagi insiden di laut adalah tertakluk kepada negara yang mempunyai bidang kuasa di lokasi kejadian.

“Ia selaras dengan peraturan serta konvensyen maritim antarabangsa yang sedang berkuat kuasa.

“Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat laporan berkaitan mangsa hanyut atau penemuan mayat yang memasuki perairan negara, APMM akan segera mengatur gerak aset bagi melaksanakan carilamat di kawasan dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, setakat ini Maritim Negeri Kedah dan Perlis tidak mengaktifkan Op Guard.

“Namun sebagai langkah mitigasi dan kesiapsiagaan, aset-aset APMM telah ditempatkan dan ditugaskan di
sekitar perairan utara Pulau Langkawi bagi tujuan pemantauan rapi.

“Pemantauan turut menggunakan aset radar RSS Tg. Kemarung bagi mengesan sebarang maklumat awal di perairan sempadan negara agar ia dapat ditangani segera,” jelasnya.

Mohd Rosli pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan serta menjejaskan persepsi terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan negara.

“APMM komited memperkukuh rondaan serta pemantauan di seluruh perairan negara bagi memastikan keselamatan maritim sentiasa terpelihara dan sebarang insiden kecemasan dalam kawasan tanggungjawab dapat ditangani secara pantas serta berkesan, ” tambahnya.

Kosmo! pada kelmarin melaporkan kira-kira 250 orang hilang selepas sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya dan warga Bangladesh terbalik di Laut Andaman, demikian menurut agensi pelarian dan migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti laporan akhbar The Guardian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |