Indonesia waspada, sahkan 3 kes hantavirus, 6 disyaki 

1 hour ago 2

JAKARTA – Pihak berkuasa Jakarta meningkatkan kewaspadaan terhadap penularan wabak hantavirus selepas enam kes disyaki dikenal pasti selain tiga jangkitan yang disahkan, lapor akhbar Jakarta Globe. 

Ketua Agensi Kesihatan Jakarta, Ani Ruspitawati berkata, ibu kota Indonesia itu merekodkan enam kes disyaki hantavirus yang kini dalam pemantauan.

“Untuk perkembangan terkini wabak hantavirus di Jakarta, kami mengenal pasti tiga kes yang disahkan, manakala enam kes disyaki masih di bawah pemantauan,” kata Ani selepas merasmikan Pusat Kesihatan Masyarakat Meruya di Jakarta Barat semalam. 

Pegawai kesihatan sebelum ini melaporkan empat orang dijangkiti hantavirus dan pulih sepenuhnya, manakala seorang pesakit masih menerima rawatan.

Berdasarkan notis kewaspadaan Kementerian Kesihatan Indonesia, Ani berkata, pentadbiran Jakarta telah mengedarkan pekeliling mengenai kesedaran bahaya hantavirus kepada kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh ibu kota.

“Kami juga melantik beberapa hospital awam sebagai hospital pemerhati  untuk menjalankan pemantauan lebih ketat dan mengesan potensi kes hantavirus dalam komuniti,” tambahnya.

Agensi Kesihatan Jakarta turut mengerahkan pasukan tindak balas pantas untuk memperkukuhkan  sistem amaran awal sebagai persediaan menghadapi sebarang peningkatan ketara dalam jangkitan.

Ani menggesa penduduk tempatan untuk mengamalkan kebersihan yang baik termasuk mencuci tangan dengan sabun dan air mengalir sebagai langkah pencegahan utama terhadap hantavirus yang disebarkan oleh tikus.

Beliau menjelaskan bahawa penularan wabak itu berlaku melalui zarah aerosol daripada najis, air liur atau air kencing tikus di ruang udara..

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Indonesia turut mengetatkan langkah saringan hantavirus di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta bagi mencegah kemasukan pengembara yang dijangkiti melalui penerbangan antarabangsa. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |