KEPUTUSAN berani memisahkan gandingan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bukan berpunca daripada sebarang konflik atau perselisihan antara mereka, sebaliknya dibuat sebagai usaha mencari suntikan baharu.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, rombakan tersebut dilakukan hasil penilaian menyeluruh oleh barisan kejurulatihan dan pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap prestasi semasa beberapa pasangan utama negara.
Menurutnya, pertukaran pasangan adalah perkara biasa dalam badminton bertaraf antarabangsa dan sering dilakukan oleh negara-negara kuasa besar bagi memastikan pemain terus berkembang serta mampu memberikan keputusan yang lebih baik.
“Perpisahan dalam acara beregu adalah perkara biasa dalam badminton. Ia bukan disebabkan pergaduhan atau perselisihan faham kerana Aaron dan Wooi Yik berada dalam keadaan baik serta profesional seperti biasa.
“Selepas menilai prestasi semasa, saya dan jurulatih Rexy dan pihak pengurusan BAM merasakan keputusan yang dicapai masih belum berada pada tahap yang kami harapkan. Sebab itu kami perlu berani mencuba sesuatu yang baharu,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara kelmarin.
Herry menjelaskan, langkah tersebut mungkin mengundang pelbagai reaksi, namun dia percaya perubahan perlu dilakukan sekiranya Malaysia mahu terus bersaing dengan negara-negara lain yang semakin meningkat prestasi mereka biarpun langkah itu berisiko.
“Jika kita terus berada dalam situasi yang sama tanpa melakukan perubahan, sukar untuk mengetahui sama ada kita mampu mencapai keputusan yang lebih baik atau tidak.
“Setiap perubahan pasti mempunyai risikonya. Ada yang menerima dengan baik dan ada yang mungkin kurang selesa, tetapi kami perlu berani mengambil langkah ini demi mencari kombinasi terbaik untuk negara,” jelasnya.
Sebagai sebahagian daripada rombakan tersebut, Aaron akan digandingkan bersama Aaron Tai manakala Wooi Yik bakal membentuk pasangan baharu dengan Man Wei Chong.

2 hours ago
3




![[VIDEO] Buaya muncul lagi depan jeti penumpang Port Dickson](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-21-at-12.30.03-AM.jpeg)




![[VIDEO] Ingatkan gangguan ‘makhluk halus’, rupa-rupanya vape ‘mushroom’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-20-at-5.18.20-PM.jpeg)





































