Gadis maut ditikam 61 kali sempat keluar makan bersama dua suspek lelaki

1 day ago 9

KOTA BHARU – Seorang gadis yang dibunuh dengan 61 tikaman dari muka hingga ke kaki sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini semalam dipercayai sempat keluar makan bersama dua suspek lelaki.

Menurut sumber, mangsa yang menetap di sebuah kondominium di sini dikatakan keluar pada waktu siang bersama salah seorang suspek berusia 19 tahun dengan menaiki kereta jenis Honda City sebelum dia dihantar semula ke kediamannya.

“Pada waktu malam, mangsa dipercayai keluar sekali lagi bersama suspek kedua yang disyaki suspek utama iaitu penuntut kolej vokasional dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.

“Mereka dikatakan makan di sebuah premis di Wakaf Bharu, Tumpat dan mangsa sempat memuat naik status makanan di WhatsApp kira-kira pukul 11 malam sebelum mayatnya ditemukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber memberitahu, motif kejadian masih dalam siasatan dan difahamkan suspek kedua baru mengenali mangsa.

Katanya, kedua-dua kenderaan yang digunakan iaitu Honda City dan Perodua Bezza turut dirampas bagi membantu siasatan.

Tambahnya, dua warga emas iaitu pasangan suami isteri yang ditahan dipercayai ibu bapa kepada salah seorang suspek yang menetap di Ketereh di sini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas direman bagi membantu siasatan berhubung kes seorang gadis berusia 19 tahun yang dibunuh sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini semalam.

Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid membenarkan dua lelaki berusia 19 tahun masing-masing menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga Jumaat depan.

Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun dan isterinya berusia 60 tahun pula diperintah menjalani tahanan reman selama tiga hari bermula semalam hingga Isnin. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |