KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 Julai ini bagi taksiran rugi kepada
Datin Seri Rosmah Mansor berhubung saman fitnah ilmu hitam dan perbuatan syirik yang dikemukannya terhadap seorang pemilik akaun TikTok.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Rosmah pada prosiding pendengaran taksiran ganti rugi di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menerusi aplikasi Zoom hari ini.
“Semasa pendengaran, mahkamah telah membangkitkan persoalan undang-undang di mana seorang lagi peguam plaintif, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff telah memohon satu tarikh singkat untuk memfailkan hujahan ringkas bagi menjawab persoalan undang-undang yang dibangkitkan.
“Hujahan perlu difailkan dalam masa dua minggu dan keputusan taksiran ganti rugi ditetapkan pada 8 Julai 2025,” katanya ketika dihubungi.
Pada 28 Mei tahun lalu, Rosmah, 73, memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi di sini terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, yang dinamakan sebagai defendan, selepas lelaki itu gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.
Rosmah yang menuntut RM1 juta memfailkan saman pada 19 September 2023 itu mendakwa Ku Muhammad Hilmie memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok milik defendan yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap plaintif pada 22 Mac 2023.
Rosmah mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti melibatkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu memprejudiskan reputasinya selaku isteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan penaung badan-badan amal di negara ini yang dikenali umum.
Rosmah mendakwa akibat kenyataan fitnah itu, beliau dipandang serong oleh orang awam, dicemuh dan dihina sekali gus mencemarkan reputasinya selaku figura yang dikenali oleh masyarakat umum.
“Ekoran fitnah yang dimuatnaik itu, saya mengalami gangguan emosi dan kemurungan serta hilang keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai kerana risau dipersoal oleh orang ramai dan kenalan-kenalan saya.
“Selain itu, saya terpaksa memberi penjelasan kepada orang ramai dan rakan-rakan bagi mengelak salah faham setiap kali pernyataan mengenai kenyataan fitnah itu diutarakan kepada saya,” ujar Rosmah dalam afidavit sokongannya.
Sehubungan itu, beliau menuntut antara lain ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE