SUNGAI PETANI – Kumpulan Syarikat EMZI terus memacu ke hadapan dengan memperluaskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian syarikat sejak 2024.
Perkembangan itu sekali gus membuktikan komitmen kumpulan terhadap kemajuan teknologi dan inovasi.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat EMZI, Mohammad Faizal Zainon berkata, sebagai sebuah syarikat digital yang ditubuhkan pada 2015, EMZI mula bereksperimen dengan teknologi AI seawal tahun 2023.
Kata beliau, setahun kemudian, penggunaan AI diperluas secara menyeluruh merangkumi pelbagai jabatan termasuk pengurusan pelanggan, analisis data, pemasaran, sumber manusia serta penghasilan kandungan promosi.
“Sebagai syarikat yang berteraskan teknologi, kami tidak boleh ketinggalan. AI bukan lagi satu pilihan tetapi ia adalah keperluan untuk kekal relevan,” katanya yang mengetuai transformasi tersebut bersama barisan Lembaga Pengarah.
Menurutnya, integrasi AI telah membawa impak yang ketara kepada syarikat termasuk menjimatkan masa, mengurangkan kebergantungan kepada kerja manual, serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.
“Tugasan yang sebelum ini mengambil masa berjam-jam kini boleh disiapkan dalam masa beberapa minit sahaja hasil daripada automasi yang cekap,” ujarnya.
Katanya, pasukan teknologi maklumat (IT) EMZI juga giat membangunkan sistem dalaman berasaskan AI bagi menjadikan ekosistem operasi syarikat lebih pintar, responsif dan berskala.
“Meskipun ramai warga EMZI menyambut baik kemajuan ini, pihak pengurusan turut mengakui wujudnya kebimbangan dalam kalangan staf terutamanya tentang kemungkinan AI menggantikan kerja manusia.
“Kami faham tentang kebimbangan itu tetapi di EMZI, AI bukan untuk menggantikan manusia, sebaliknya ia dicipta untuk memperkasa pasukan kami supaya mereka boleh fokus kepada tugas yang lebih strategik dan bernilai tinggi,” katanya.
Menjelang tahun hadapan, EMZI menyasarkan 60 peratus daripada operasi harian disokong sepenuhnya oleh sistem berasaskan AI, manakala 40 peratus lagi masih dipantau oleh manusia.
Ia adalah satu pendekatan seimbang yang mengekalkan elemen produktiviti tanpa mengabaikan sentuhan manusia dalam perkhidmatan pelanggan dan komunikasi.
Transformasi tersebut bukan sekadar soal kecekapan, tetapi juga sebagai satu langkah penting dalam strategi jangka panjang EMZI untuk membina daya tahan digital, menggalakkan inovasi dan memperkukuh daya saing syarikat di peringkat domestik dan antarabangsa.
Menerusi langkah yang berani itu, Kumpulan Syarikat EMZI kini berada di landasan kukuh sebagai syarikat teknologi dan inovasi yang bersedia untuk menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan sambil terus memberikan nilai tambah kepada pelanggan, komuniti dan negara.
Kumpulan Syarikat EMZI merupakan sebuah syarikat dalam talian yang bertapak di Sungai Petani dan menghasilkan, mempromosi serta mengedar produk minuman kesihatan di bawah jenama EMZI Care.
Antara produk utama kumpulan berkenaan ialah Kopi Ala Kazim, NeOlive Tin dan Teh Tarik Mahmudi yang dihasilkan di kilang pemprosesan di Kedah Halal Park dengan visi we deliver better health to your home.