Piala Dunia Kelab: Chelsea mahu penuhi kabinet trofi

18 hours ago 4

CHELSEA akan memulakan kempen Piala Dunia Kelab 2025 dengan pertembungan menentang Los Angeles FC (LAFC) dalam aksi pertama Kumpulan D yang dijadualkan berlangsung di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta pada 17 Jun ini.

LAFC menyertai kejohanan berprestij dunia itu selepas menewaskan Club America 2-1 dalam perlawanan playoff yang diadakan di BMO Stadium, Los Angeles baru-baru ini.

Slot asal itu sepatutnya milik jaguh Mexico, Club Leon, namun pemenang Liga Juara-Juara CONCACAF 2023 itu digugurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) selepas didapati melanggar peraturan pemilikan kerana berkongsi pemilik dengan Pachuca, juara edisi 2024.

Kemenangan dalam perlawanan playoff tersebut memastikan LAFC menyertai Kumpulan D bersama Chelsea, Flamengo dari Brazil dan Espérance de Tunis dari Tunisia.

Chelsea yang layak ke kejohanan itu sebagai juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21, akan melengkapkan aksi kumpulan dengan pertemuan menentang Flamengo pada 20 Jun di Lincoln Financial Field, Philadelphia dan Esperance de Tunis pada 24 Jun di stadium yang sama.

The Blues merupakan salah satu kelab paling berjaya di Eropah dengan lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dua gelaran UCL, selain pernah menjulang trofi dunia pada edisi 2021 selepas menewaskan Palmeiras 2-1 dalam masa tambahan.

Dengan hadiah keseluruhan berjumlah AS$1 bilion (RM4.24 bilion), kejohanan itu menawarkan ganjaran lumayan di mana setiap pasukan dijamin sekurang-kurangnya AS$9.55 juta (RM40 juta) hanya untuk penyertaan.

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca dijangka merancang strategi terbaik untuk memastikan pasukannya mampu bersaing dalam jadual padat kejohanan tersebut, selain menguruskan pemain yang turut terlibat dalam tugasan antarabangsa.

Bintang-bintang seperti Cole Palmer, Moises Caidedo dan Enzo Fernandes tentunya menjadi pertaruhan terbaik untuk membawa pulang trofi berprestij tersebut ke Stamford Bridge.

Sebagai rekod, Chelsea adalah kelab pertama memenangi kesemua gelaran Eropah selepas pernah menjuarai Liga Europa sebanyak dua kali pada 2013 dan 2019 serta memenangi Liga Konferens Europa musim ini.

INFO

KUMPULAN D

CHELSEA (ENGLAND)

Nama gelaran: The Blues

Jurulatih: Enzo Maresca

Kapten: Reece James

Tiket kelayakan: Juara UCL 2020/21

Read Entire Article
Pertanian | | | |