JELI – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Orang Asli di Sungai Rual di sini, cukup bertuah apabila disantuni Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari bersempena lawatan kerja dua hari beliau ke Kelantan baru-baru ini.
Adly telah menyampaikan 300 sumbangan rahmah kepada penduduk Orang Asli dan Persatuan Veteran setempat bersempena Program Veteran Desa Madani (VDM) bersama veteran ATM dan komuniti Orang Asli serta masyarakat setempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual di sini.
“Sebelum itu, saya berkesempatan singgah menyantuni 13 veteran ATM dan keluarga bersempena Program Peduli Veteran Madani (PVM) di sekitar daerah Jeli, Tanah Merah dan Rantau Panjang,” katanya.
Menurut beliau, ketika kunjungan tersebut, pihaknya telah menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan menyampaikan bantuan peralatan kesihatan, sumbangan kebajikan serta bantuan perniagaan.

“PVM merupakan inisiatif Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM melibatkan peningkatan taraf sosioekonomi dan pengiktirafan jasa pejuang negara selaras dengan Dasar Malaysia MADANI menerusi rukun kesejahteraan,” katanya.
Adly menerangkan, VDM adalah inisiatif MINDEF untuk mendukung usaha memperkukuh kerjasama awam dan tentera melalui Civil Military Corporation (CIMIC) iaitu mempertingkatkan daya ketahanan dalam negara melalui Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dengan menggunakan pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat (WoGoS).
“Program kemasyarakatan yang digarap melalui persefahaman dan kerjasama awam dan swasta menyaksikan kerjasama antara MINDEF dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta agensi-agensi kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu, Adly juga mengadakan Lawatan Kerja ke Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Operasi Merpati (Op Merpati) 8 Briged di Pos Renap, Rantau Panjang dan Pos Tok’O di sini.
Katanya, lawatan kerja tersebut bertujuan untuk meninjau kesiagaan aset dan anggota bertugas serta mengambil peluang menyantuni kebajikan warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sedang melaksanakan operasi di sempadan negara.
“Lawatan ini adalah salah satu aktiviti di bawah Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara, iaitu Cegah Rintang Berpadu, seperti yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan 2020–2030 (KPP),” katanya.

Menurutnya, strategi itu bertujuan untuk melindungi kepentingan negara, terutamanya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah dengan menghindar daripada sebarang bentuk pencerobohan dan konflik.
“Pertahanan negara adalah di sepanjang kawasan lapisan berpadu meliputi domain darat, maritim, udara dan siber elektromagnetik,” katanya.
Sempena lawatan Adly di Kelantan pada Hari Raya Aidiladha, beliau telah menunaikan solat sunat dan melakukan ibadah korban serta beramah mesra bersama dengan anggota TDM yang sedang beroperasi di bawah kawasan tanggungjawab Divisyen 2.
Beliau telah menyampaikan sumbangan rahmah serta mengagihkan daging korban kepada ketua penempatan pos.
Sementara itu, penerima bantuan rahmah di SK Sungai Rual, Adnan Labu, 53, bersyukur kerana telah menerima bantuan tersebut kerana ia dapat membantu menampung keperluan dapur untuk keluarganya. -KOSMO! ONLINE