PETALING JAYA – Terus mencatat kejayaan sendiri, filem animasi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) berjaya meraih kutipan sebanyak RM50.7 juta selepas 18 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei lalu.
Kejayaan tersebut meletakkan EATM2 sebagai filem animasi tempatan nombor satu sejak kutipan mencecah RM40 juta pada minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation yang juga pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin berkata, kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil daripada sokongan luar biasa para peminat dan kepercayaan mereka terhadap karya tempatan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur filem EATM2 mendapat sambutan yang luar biasa dari penonton.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada semua ahli pasukan dari Primeworks Studios dan WAU Animation yang saban hari berusaha keras untuk mempromosikan filem ini sejak tayangan bermula.
“Tidak lupa juga pada peminat-peminat tegar yang memberikan sokongan dan dorongan terus menerus, terima kasih kerana memilih filem kami untuk anda sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain kejayaan di Malaysia dan Brunei, EATM2 turut berjaya menembusi pasaran Singapura bermula 5 Jun lalu sementara dijangka memasuki pasaran Indonesia pada 27 Jun depan.
Tayangan di luar negara merupakan langkah penting dalam membawa animasi tempatan ke pentas serantau selain diharap akan membuka peluang perniagaan baharu dalam sektor pelesenan dan penjualan produk berjenama Ejen Ali seperti pakaian, peralatan sekolah, permainan serta sebagainya.
Minggu lalu, EATM2 meraih kutipan RM40.6 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.
Angka tersebut memecahkan rekod kutipan naskhah pertama Ejen Ali pada 2019, sekali gus meletakkan EATM2 sebagai filem animasi tempatan paling laris sepanjang zaman.
Setakat ini, EATM2 satu-satunya naskhah tempatan yang mengekori rapat rekod filem terlaris Malaysia 2025 iaitu Blood Brothers: Bara Nagajuga terbitan Primeworks Studios dengan kutipan RM76 juta dalam tempoh 33 hari tayangan. – KOSMO! ONLINE