Komik ke layar perak, Under 18 X Klepet lebih dramatik

18 hours ago 7

DALAM usaha memecah sempadan antara dunia kertas komik dan layar perak, sebuah kolaborasi luar biasa menyatukan dua kuasa besar seni tempatan iaitu Respected Citizen dan Kadokawa Gempak Starz.

Bersempena pelancaran filem aksi komedi Klepet, gabungan kreatif ini menghasilkan edisi terhad Exclusive Box: Under 18 x Klepet, sekali gus mengangkat karya seni tempatan ke tahap lebih gah.

Nadi projek ini berdenyut deras di pentas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 baru-baru ini menyaksikan pelancaran rasmi kotak eksklusif tersebut di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Lebih istimewa, hanya 5,000 unit ditawarkan buat peminat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kadokawa Gempak Starz, Chris Yew, peluang berkolaborasi dengan filem Melayu buat julung kali amat mengujakan selepas kejayaan beberapa projek berbahasa Cina sebelum ini.

“Idea ini sangat segar. Apabila kami mendalami konsep Klepet, kami tahu amat serasi dengan dunia Under 18. Gabungan ini bukan sahaja menarik, bahkan memberi nilai tambah kepada kedua-dua cabang seni.

“Ini satu penghormatan besar buat kami. Harapan saya agar kolaborasi sebegini dapat diteruskan dan diperluas untuk naskhah tempatan lain pada masa hadapan.

“Kepada peminat yang terlepas peluang memilikinya di PBAKL, maklumat lanjut akan kami umumkan di media sosial rasmi,” katanya kepada HibGlam.

Mendapat sentuhan tangan sakti pelukis tersohor, Zint Lu, komik istimewa ini bukan sekadar olahan semula, malah menjadi prekuel yang membuka babak kepada penceritaan filem Klepet.

Walaupun naratif berbeza, watak-watak seperti Fox dan Jimi kekal menjadi pengikat antara dua medium.

Bagi penerbit filem Klepet, Aeril Zafrel, kolaborasi ini bukan sekadar pelengkap promosi, sebaliknya membuka laluan baharu untuk mengukuhkan impak filem tempatan dalam pelbagai dimensi.

“Under 18 x Klepet menyajikan sisi berbeza iaitu lebih dramatik, lebih matang. Bukan itu saja naskhah ini juga mempersembahkan aksi segar daripada watak-watak yang sudah dikenali peminat.

“Gabungan dunia filem dan komik ini terbukti berkesan dalam menarik perhatian generasi baharu penonton. Ini bukan sekadar strategi promosi, tapi satu bentuk penghargaan terhadap seni tempatan.

“Kami mahu penonton melihat filem ini bukan hanya dengan mata, tetapi turut merasainya dengan hati,” ujarnya.

Filem Klepet pula mengangkat kisah tiga sahabat karib iaitu Pali, Jani dan Wadi yang hanyut dalam realiti jalanan sebelum hidup mereka berubah akibat pertemuan dengan wanita Ukraine bernama Lola, pelarian sindiket jenayah antarabangsa.

Di tangan pengarah Indra Putra (Sanji), penceritaan Klepet dirangka bukan sekadar sebagai hiburan ringan, sebaliknya membawa penonton merentas pelbagai emosi dan dimensi realiti urban masa kini lucu, getir dan penuh kejutan.

Dengan pelakon utama seperti Aedy Ashraf, Nadhir Nasar, dan Meerqeen, gabungan ini diyakini bakal mencetus fenomena baharu. Dua dunia bertaut dalam satu naskhah membuktikan seni tempatan tidak pernah hilang taring, malah semakin tajam dan berbisa.

Read Entire Article
Pertanian | | | |