PETALING JAYA – Komposer, penyanyi lagu puisi juga penulis lirik terkenal Adinda Amiro meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, malam tadi.
Khabar duka mengenai komposer dengan nama sebenar Saidin Omar itu, 66, disampaikan beberapa kenalan dan sahabat baiknya, termasuk Budiman Mohd. Zohd
dalam Facebook malam tadi.
“Al Fatihah. Saidin Omar pulang ke Kampung Abadi, sekarang jenazah masih di Hospital Serdang (Sultan Idris Shah). Masih menunggu proses-proses seterusnya.
“Ramai kawan-kawan turut berada di hospital. Sinaganaga Lan Benhussain, Saleeh Rahamad, Mohd Khair, Mutalib Uthman.
“Khabarnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Gombak. Maklumat lanjut akan dimaklum,” katanya.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca utama kematian pencipta lagu Bukan Aku Tak Cinta itu.
Dalam hantaran sama, Budiman turut memaklumkan dia dan arwah sempat bekerjasama untuk kali terakhir menerusi Korbankanlah.
“Sempat kolaborasi projek yang terakhir lagu Korbankanlah sempena Aidiladha.
“Rahsia yang menjadi rahsia-Nya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Presiden Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abdul Majid menzahirkan ucapan takziah selain menyifatkan arwah sebagai individu yang sangat berbakat.
“Karya-karya Allahyarham merentasi masa dan menyentuh jutaan hati rakyat Malaysia.
“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar bagi dunia muzik dan budaya Malaysia.
“Namun, legasi seni dan suara hatinya akan terus hidup dalam lagu-lagu yang ditinggalkan.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan para solihin, dan diberikan ganjaran atas segala sumbangan seninya yang menghidupkan jiwa-jiwa insan,” ujarnya.
Antara karya Allahyarham yang terus segar dalam ingatan peminat termasuk lagu Aduhai Seribu Kali Sayang yang dinyanyikan Allahyarham Saleem Iklim, Permaidani (Aris Ariwatan) dan Bukan Aku Tak Cinta (Iklim). – KOSMO! ONLINE