JAGUH Amerika Syarikat (AS), Los Angeles FC (LAFC) bakal membawa cabaran bola sepak negara itu dalam Piala Dunia Kelab 2025 dengan kelebihan sebagai salah satu tuan rumah kejohanan yang berlangsung di tanah air sendiri.
Pasukan Liga Major Bola Sepak AS (MLS) itu menempah tempat ke kejohanan itu melalui kemenangan dramatik 2-1 ke atas Club America dalam aksi playoff khas yang diadakan pada saat akhir menggantikan Club Leon yang digugurkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Meskipun baru ditubuhkan pada 2018, LAFC sudah pun mencipta nama antara kelab paling konsisten di MLS dengan tiga trofi utama iaitu dua gelaran Supporters Shield pada 2019 dan 2022 dan satu Piala MLS 2022.
Pasukan itu berada dalam prestasi terbaik memandangkan mereka sedang berada di pertengahan musim liga domestik dan tidak perlu berdepan isu keletihan perjalanan seperti kelab-kelab lain dari benua berbeza.
Malah, keselesaan bermain di laman sendiri memberi kelebihan besar kepada anak-anak buah Steve Cherundolo yang sudah biasa dengan iklim dan suasana bola sepak di Amerika.
Tumpuan utama pastinya terarah kepada penyerang sensasi Gabon, Denis Bouanga yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik (MVP) dalam aksi kelayakan menentang Club America hasil jaringan kemenangan pada masa tambahan.
Bouanga telah meledak 80 gol dan mencipta 35 bantuan jaringan dalam 127 perlawanan bersama LAFC selain mengetuai pelbagai statistik serangan di MLS.
Bagaimanapun, persoalan utama bagi LAFC ialah ketumpulan posisi nombor sembilan sama ada Olivier Giroud atau Jeremy Ebobisse mampu memainkan peranan sebagai penjaring utama dalam saingan sebenar.
Diletakkan dalam Kumpulan D bersama Chelsea, Flamengo dan Esperance de Tunis, LAFC perlu tampil luar biasa untuk mara ke pusingan kalah mati, namun semangat tuan rumah boleh menjadi pemangkin kejutan.
INFO
KUMPULAN D
LOS ANGELES FC (AS)
Nama gelaran: The Black and Gold
Jurulatih: Steve Cherundolo
Kapten: Carlos Vela
Tiket kelayakan: Menang play-off kelayakan FIFA (2-1 vs Club América)