Faiza bangkit sertai refleksologi

4 hours ago 1

IPOH – Hampir putus harapan kerana hilang punca pendapatan pada usia seawal 40 tahun, Faiza Sharifudin kini bangkit menjadi ­juruterapi refleksologi.

Dia sebelum ini berniaga menjual pakaian tudung, namun hilang pendapatan akibat wabak Covid-19 beberapa tahun lalu sehingga kerugian modal hampir ribuan ringgit.

Akibat tekanan itu, dia memberanikan diri mendaftar sebagai pelatih kursus di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam bidang ref­leksologi dan urutan sejak Julai 2024.

Pada mulanya, dia agak ragu tentang langkah tersebut kerana itu adalah bidang baharu buat dirinya, selain masih terkesan de­ngan kerugian perniagaan yang pernah dialami.

“Pada peringkat awal saya rasa agak sukar. Namun, hasil soko­ngan suami, anak-anak, rakan dan MAIPk, saya teruskan juga. Banyak yang saya belajar dalam bidang ini,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Faiza, 46 kini semakin ceria dan bersemangat dengan karier baharu tersebut sehingga tidak menang tangan menyertai pelbagai program yang membenarkan penyediaan ruang khidmat refleksologi dan urutan.

Setiap program yang disertai, dia bersama rakan-rakan akan mendapatkan tapak untuk menawarkan perkhidmatan dengan kos serendah RM35 hingga ke RM150 bagi setiap pelanggan.

“Sambutan yang diterima adalah sangat baik. Malah, banyak potensi perniagaan yang boleh dikembangkan menerusi khidmat refleksologi dan urutan ini,” ­katanya.

MAIPk menawarkan kursus tersebut dalam usaha membantu golongan asnaf atau kumpulan yang tidak bernasib baik supaya diberikan kemahiran dan Faiza bersyukur kerana dibimbing ­de­ngan baik sehingga ke hari ini.

Usaha tersebut selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah Flagship Kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, ­Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC mahu rakyat negeri itu berpeluang mempunyai sijil ­kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran menaik taraf.

Read Entire Article
Pertanian | | | |