SELANGOR mengukuhkan komitmennya untuk menjadi hab inovasi aeroangkasa dan mobiliti masa hadapan menerusi majlis prapelancaran DronePort-1000 di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya baru-baru ini.
Inisiatif terbaharu hasil kerjasama strategik antara syarikat pelaburan negeri Selangor Aviation & Technology Innovation Sdn. Bhd. (Selati) dan Unisel ini dibangunkan khas sebagai pusat ujian dan penilaian teknologi dron serta Ekonomi Ruang Udara Rendah (Low Altitude Economy) atau LAE bagi ruang udara di bawah ketinggian 1,000 meter.
Langkah strategik ini sejajar dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) untuk memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.
DronePort-1000 itu JUGA dilihat bakal menyemarakkan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Aeroangkasa apabila ia menjadi pusat pengujian dron terbesar di Malaysia.
Exco Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital dan Sains, Teknologi & Inovasi (STI) Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, DronePort-1000 bakal menjadi pusat pengujian dron terbesar di negara ini apabila beroperasi sepenuhnya kelak.
“DronePort-1000 ini akan menjadi satu pusat di mana kita melengkapkan kelompangan dalam pembangunan ekosistem dron di negeri Selangor.
“Kita mempunyai ruang udara berkeluasan 24 kilometer persegi dengan ketinggian sehingga 1,000 meter yang telah pun diuji dan bakal mendapat pentauliahan khas daripada Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
MOHAMMAD FAHMI (tengah) bersama pihak Selati dan Unisel pada majlis prapelancaran DronePort-1000 di Unisel, Kampus Bestari Jaya, Selangor baru-baru ini.Jelasnya lagi, penggunaan dron industri dan kecerdasan buatan (Al) mampu menyelesaikan pelbagai cabaran pemantauan di negeri tersebut seperti pencerobohan hutan simpan, hakisan tebing pantai, kebocoran ban hingga ke pemantauan pencemaran sungai.
“Selangor ini luasnya 10 kali ganda daripada Singapura, jadi pemantauan secara manual amat mencabar.
“Dengan teknologi dron dan Al, pengawasan udara dapat dilakukan dengan lebih tuntas dan pantas,” jelasnya.
Tambahnya lagi, inisiatif DronePort-1000 didorong oleh tiga teras utama iaitu penyediaan Tapak Ujian & Penilaian Kebangsaan bagi persekitaran ujian dan pengkomersialan terkawal, sokongan Rangkaian Peribadi 5G berprestasi tinggi untuk kawalan data masa nyata serta penerbangan berautonomi dan Kerjasama Kawal Selia (Regulatory Sandbox) bersama CAAM bagi merangka kerangka perundangan serta dasar keselamatan ruang udara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selati, Zannifa Azura memberitahu, matlamat utama pembinaan DronePort-1000 adalah untuk mewujudkan ekosistem lengkap yang memperkasa vendors dan pemain industri tempatan.
“Bila kita cakap pasal dron industri, ia bukan sekadar dron rekreasi yang kita bawa pergi bercuti.
“Dron industri memerlukan infrastruktur dan ekosistem sokongan yang sangat kompleks.
“Malah, untuk menerbangkan satu kenderaan mobiliti udara Advanced Air Mobility, ia memerlukan sokongan ketersediaan seumpama ‘satu kampung’,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, menerusi kerjasama strategik dan pemindahan teknologi (technology transfer) bersama pakar antarabangsa, vendor tempatan dapat melonjakkan kapasiti mereka tanpa perlu bermula dari awal.
Katanya, matlamat pihaknya adalah untuk menggalakkan ‘technology transfer’ antara akademia dan pemain industri.
“Kita mahu memacu vendor tempatan supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pemain antarabangsa,” jelasnya.
Untuk rekod, pelaksanaan DronePort-1000 dilakukan secara berfasa dengan kerjasama rapat bersama pihak CAAM bagi memastikan semua operasi mematuhi Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016.
Aktiviti penyelidikan, ujian di darat dan latihan bakat di Unisel akan dimulakan terlebih dahulu sebelum sebarang penerbangan ujian berskala penuh diluluskan sepenuhnya.
Menerusi pembukaan DronePort-1000 tersebut, ia juga membuka ruang kerjaya berimpak tinggi berasaskan sains dan teknologi tinggi untuk generasi muda tempatan.

1 day ago
12
















































