Premis makanan ditutup DBKL boleh dibuka semula selepas 24 jam

2 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Premis makanan yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan kini boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula seawal 24 jam selepas tindakan pembersihan dilaksanakan dengan sempurna.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, langkah itu antara tiga penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi memudahkan urusan peniaga di ibu negara.

“Walau bagaimanapun, pembukaan semula bukan secara automatik dan hanya dibenarkan selepas pemeriksaan serta pengesahan DBKL bahawa semua keperluan kebersihan dan keselamatan makanan telah dipenuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut DBKL, dua lagi penambahbaikan melibatkan permit meja dan kerusi di kaki lima serta permit bagi kerja kecil di premis.

Bagi permit meja dan kerusi, bayaran ditetapkan pada kadar RM30 sebulan bagi setiap set dengan permohonan boleh dibuat melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing.

Kelulusan bagaimanapun bergantung kepada kesesuaian lokasi dan kelebaran kaki lima selain perlu memastikan laluan pejalan kaki, pengguna kerusi roda serta akses operasi kecemasan tidak terhalang.

Sementara itu, bagi kerja kecil seperti pertukaran jubin atau siling yang tidak melibatkan perubahan struktur bangunan, pemohon hanya perlu mengisi borang dan membuat pemakluman kepada DBKL.

“Permit tersebut juga boleh dikeluarkan secara terus melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing bagi mempercepatkan proses permohonan kerja berisiko rendah.

“Ketiga-tiga penambahbaikan itu terpakai kepada semua peniaga yang memenuhi syarat ditetapkan tanpa mengira latar belakang atau jenis premis,” ujar DBKL.

Langkah berkenaan dibuat susulan sesi libat urus bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud serta wakil Persatuan Pekedai Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

Sesi libat urus turut diadakan bersama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia pada April lalu yang antara lain menyentuh isu berkaitan pembukaan semula premis.

Menurut DBKL, penambahbaikan itu bertujuan memperkemas penyampaian perkhidmatan, mengurangkan proses yang tidak perlu serta mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kondusif di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, aspek keselamatan, kebersihan, aksesibiliti dan kepentingan awam akan terus diberi perhatian dalam setiap kelonggaran proses yang dilaksanakan.

“DBKL komited untuk terus menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan yang lebih cekap, telus dan berintegriti demi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang mesra perniagaan tanpa mengabaikan kepentingan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |