Premis barangan lusuh diarah tutup serta-merta

2 hours ago 4

JOHOR BAHRU – Premis kitar semula barangan lusuh di Jalan Kempas Lama-Seelong di sini diarahkan tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa lesen dan melakukan aktiviti pengumpulan serta pembakaran sisa secara terbuka.

Lebih membimbangkan, premis yang beroperasi lebih lima tahun itu terletak berhampiran laluan paip gas milik Petronas Nasional Berhad (Petronas), sekali gus mencetuskan kebimbangan keselamatan kira-kira 10,000 penduduk di empat kampung berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas pemeriksaan mendapati tapak seluas kira-kira 3.4 hektar tersebut digunakan untuk aktiviti yang tidak selari dengan status tanah.

Menurutnya, tanah berkenaan berstatus pertanian, namun dipercayai digunakan sebagai lokasi pengumpulan pelbagai jenis sisa termasuk sisa basah dan bahan binaan yang dikumpulkan secara bercampur sebelum dibakar.

“Tanah ini asalnya berstatus pertanian dan kita anggap ia digunakan untuk aktiviti pertanian, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah pengumpulan sampah dan sisa pekerjaan.

“Sisa itu pula bercampur-campur, termasuk sisa basah dan bahan binaan. Kalau dia ada lesen sekalipun, dia mungkin sudah melanggar syarat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di premis berkenaan di Jalan Kempas Lama-Seelong di sini hari ini.

Mohd. Jafni berkata, semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati tiada lesen dikeluarkan bagi membolehkan aktiviti pengumpulan atau pengurusan sisa dijalankan di tapak terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati kegiatan tersebut dipercayai dijalankan oleh seorang pengusaha yang menyewa tanah berkenaan daripada pemilik sebenar sejak lebih lima tahun lalu.

“Pihak berkuasa perlu jumpa pemilik sebenar kerana dia menyewakan tapak ini kepada pengusaha. Kita mahu tahu sama ada dia bersubahat, bekerjasama atau aktiviti ini sebahagian daripada perniagaannya. Kalau memang terlibat, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, kira-kira 300 ekor ayam turut ditemui di kawasan berkenaan yang dipercayai dijadikan lokasi pengumpulan sisa, selain aktiviti pembakaran terbuka yang didakwa berlaku terutama pada waktu malam.

Aktiviti tersebut dikatakan menyebabkan asap merebak ke kawasan penempatan berhampiran sehingga menimbulkan keresahan penduduk.

Lebih mengejutkan, lokasi berkenaan berada kira-kira 150 meter dari laluan gas milik Petronas yang pada awalnya menimbulkan kebimbangan mengenai risiko keselamatan sekiranya berlaku kebakaran atau letupan.

Bagaimanapun, pemeriksaan teknikal yang dijalankan pihak Petronas mengesahkan saluran paip gas berkenaan berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, empat individu termasuk tiga warga asing dan seorang rakyat tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung aktiviti yang dijalankan di tapak berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |