Sheng Long Aqua Technology labur RM140 juta bina kilang di Kamunting

6 hours ago 6

TAIPING – Syarikat pengeluar makanan ternakan akuakultur dari Taiwan, China iaitu Sheng Long Aqua Technology (M) Sdn. Bhd. (Sheng Long Aqua Technology) melabur RM140 juta di Kamunting di sini untuk membina kilang pertamanya di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, pelaburan tersebut sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap Perak sebagai destinasi strategik bagi pembangunan sektor pembuatan dan pelaburan.

“Kilang dijadualkan memulakan operasi pada 2028. Fasiliti baharu ini melibatkan pelaburan fasa pertama berjumlah kira-kira RM140 juta.

“Ia akan menghasilkan makanan ternakan akuakultur berkualiti tinggi dan dilengkapi dengan dua talian pengeluaran makanan udang serta dua talian pengeluaran makanan ikan, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 150,000 tan metrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Syarikat Sheng Long Aqua Technology (M) Sdn. Bhd. di Kamunting di sini hari ini.

Hadir sama ke majlis berkenaan adalah Pengurus Besar, Sheng Long Aqua Technology (M) Sdn. Bhd., Jeff Chuang Jie Cheng; Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Surayu Susah dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif InvestPerak, Dr. Ahmad Shahir Abdul Aziz.

Kok Lim berkata, projek itu dijangka dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Malaysia dan pasaran negara jiran di samping dapat mewujudkan lebih daripada 100 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Bahkan, beliau berkata, ia dapat memperkukuhkan keupayaan pembuatan tempatan dan daya tahan rantaian bekalan.

“Kerajaan negeri Perak melalui Invest Perak akan terus berhubung rapat dengan MIDA, pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan bagi menyediakan sokongan penuh dan membantu syarikat-syarikat melabur dengan yakin serta berkembang dengan jayanya di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |