PARA penternak yang bernaung di bawah P3Y mengagihkan ayam dan telur kepada orang ramai di kawasan Malioboro, Yogyakarta, sebagai bentuk bantahan terhadap harga makanan ternakan yang tinggi sehingga menyebabkan kerugian. - Arfiansyah Panji/kumparan
- Oleh KOSMO!
- 10 Ogos 2026, 7:00 pm
JAKARTA – Berang dengan kenaikan mendadak harga makanan ternakan, kumpulan penternak yang bernaung di bawah Persatuan Peternak Petelur Yogyakarta (P3Y) bertindak mengagihkan ribuan ayam dan telur secara percuma kepada orang ramai di kawasan tumpuan pelancong, Malioboro, di Yogyakarta lapor laman berita kumparan.
Aksi itu diadakan sebagai bantahan terhadap lonjakan kos pengeluaran yang membebankan, sekali gus menyebabkan majoriti penternak di wilayah Yogyakarta mengalami kerugian.
Selain mengagihkan ayam dan telur, mereka turut menyampaikan beberapa tuntutan kepada pihak kerajaan.
“Tuntutan utama yang paling penting adalah menurunkan harga makanan ternakan.
“Harga makanan ternakan perlu turun supaya kos pengeluaran kami juga dapat dikurangkan.
“Jika boleh, pihak pengilang diharap tidak menaikkan lagi harga makanan ternakan,” kata Penyelaras P3Y, Andry Patra.
Andry menyatakan bahawa harga makanan ternakan kini mencecah 480,000 rupiah (RM110) bagi setiap satu guni, atau sekitar 8,000 rupiah (RM1.80) sekilogram untuk makanan siap campur.
Harga tersebut mencatatkan kenaikan kira-kira 30 hingga 40 peratus. – AGENSI

5 hours ago
6
















































