Komposer Lee Sze Wan meninggal dunia

1 hour ago 3

PETALING JAYA – Industri muzik negara kehilangan sebutir bintang dengan pemergian komposer dan pengarah muzik, Lee Sze Wan, yang meninggal dunia pada usia 47 tahun, semalam.

Khabar duka itu dikongsikan penyanyi, Misha Omar, yang memuatkan naik beberapa foto kenangan bersama mendiang termasuk ketika mereka membuat berkolaborasi di pentas mega.

Misha memilih lagu Gone Too Soon nyanyian Raja Pop, Michael Jackson, sebagai latar foto berkenaan sebelum menitipkan ucapan penuh emosi buat sahabatnya itu.

“Selamanya saya akan menyimpan awak dalam hati. Sehingga kita bertemu lagi,” tulisnya menerusi Instagram Story.

Bagaimanapun, sehingga kini punca kematian serta butiran lanjut mengenai pemergian Sze Wan belum diperincikan.

Sze Wansebelum ini mencipta lagu Tanpa Relamu yang dipopularkan Misha pada 2020, selain bertindak sebagai pengarah muzik untuk konsert penyanyi berkenaan tahun lalu.

Beliau juga pernah menjadi pengarah muzik untuk Konsert Empat Live membabitkan penampilan adik-beradik, Anuar Zain dan Ziana Zain, selain pasangan penyanyi Ernie Zakri serta Syamel.

Antara karya terawalnya dalam industri muzik adalah menerusi kerjasama bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk lagu Penghiburku yang menampilkan Joe Flizzow.

Sepanjang kariernya, Sze Wan turut bekerja dengan ramai penyanyi popular tanah air termasuk Anuar Zain menerusi lagu Selamat Malam, Aina Abdul (Imaji) serta Dayang Nurfaizah (Akhirnya Bahagia).

Pemergian Sze Wan turut dirasai Dayang dan Anuar yang berkongsi penghormatan terakhir menerusi Instagram Stories masing-masing.

Anuar menyifatkan pemergian rakannya itu sebagai kehilangan besar buat semua, selain mengingati beliau sebagai pengarah muzik berbakat dan sahabat yang sangat dihargai.

“Ini satu kehilangan besar buat kita semua. Awak akan sangat dirindui, Sze. Awak akan sentiasa berada dalam hati kami.

“Terima kasih untuk muzik yang indah, kerana berkongsi bakat luar biasa dengan kami dan menjadi pengarah muzik yang hebat serta paling penting, sahabat yang sangat kami sayangi,” tulis Anuar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |