MELAKA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberi perhatian terhadap cadangan menggubal undang-undang bagi mengharamkan vape susulan kebimbangan banyak pihak berkaitan peranti itu disalahgunakan bagi memasukkan bahan terlarang termasuk dadah sintetik.
Pengerusi World Youth Foundation (WYF), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, pihaknya akan turut mengemukakan satu resolusi berkaitan pengharaman vape kepada KDN yang dicapai melalui forum bersama agensi penguat kuasa, pakar akademik, golongan belia serta pemimpin masyarakat.
“Resolusi ini kita akan kongsikan bersama kementerian (KDN) termasuk juga kerajaan negeri dan kepada agensi yang boleh mengangkat resolusi ini ke peringkat penggubal dasar kerana apa pun yang nak dilakukan dalam negara kita ini, ia mesti digubal dalam dasar.
“Sebagai contoh, bahan-bahan terlarang baharu yang disebut hari ini sebagai psikoaktif tidak tertulis di mana-mana akta. Jadi, apabila berlaku tangkapan, pihak penguat kuasa tidak dapat mengambil tindakan selanjutnya kerana kelompongan dalam akta kita yang ada pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Forum Bahaya Dadah Sintetik dan Ancaman Bahan Psikoaktif Baharu: Trend, Isu dan Penyelesaian yang diadakan di Dewan WYF di Ayer Keroh, hari ini.
Turut hadir pada program itu adalah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Dr. Jasmirol Jamaluddin.
Mohd. Ridhwan berkata, antara perkara yang dicadangkan dalam resolusi itu adalah pengukuhan pencegahan awal melalui pendidikan, peningkatan literasi digital serta penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan bagi mengesan corak pengedaran dadah dalam talian.
“Resolusi ini turut menyentuh keperluan memperkukuh penguatkuasaan, kapasiti forensik, rawatan dan pemulihan selain kerjasama antara agensi serta antarabangsa,” ujarnya
Tambahnya, resolusi itu turut mengambil kira tindakan 34 negara yang telah mengharamkan vape termasuk Singapura, Thailand, Brunei, Brazil, Mexico dan India, selain tujuh negeri dalam negara iaitu Johor, Terengganu, Sarawak, Kelantan, Kedah, Pahang dan Perak.
Terdahulu, pada forum tersebut Jasmirol turut berkongsi informasi berhubung bahaya penggunaan vape termasuk kehadiran dadah sintetik jenis etomidate yang tidak dapat dikesan melalui kebanyakan kit ujian dadah biasa.
Ujarnya, situasi sama turut dilaporkan di beberapa negara asia yang berdepan peningkatan penggunaan vape mengandungi bahan tersebut.

5 hours ago
5
















































