JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah dikesan menjadikan sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal di Persiaran Senibong, Masai, di sini sebagai stor menyimpan bekalan dadah bernilai RM8.49 juta sebelum kegiatan itu terbongkar menerusi serbuan polis, Rabu lalu.
Operasi kira-kira pukul 10.30 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor hasil risikan yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 34 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pangsapuri di Seri Alam, Masai sebelum polis menemukan pelbagai jenis dadah seberat 96.76 kilogram (kg).
“Antara dadah dirampas ialah 132,600 biji pil Erimin 5, 53,000 biji pil ekstasi, 290 peket serbuk ekstasi, 13 peket ketamin dan dua peket serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
“Keseluruhan rampasan itu dianggarkan mampu digunakan oleh 392,098 pengguna sekiranya berjaya diedarkan di pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek pertama dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penyimpanan bekalan dadah sindiket berkenaan sebelum serbuan susulan dilakukan terhadap sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ehsan Jaya, Desa Cemerlang.
Serbuan kedua itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai rakan kepada suspek pertama dan berperanan membantu dalang sindiket, termasuk menguruskan pembayaran gaji penjaga stor.
Ab. Rahaman berkata, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun semakan mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
Dalam perkembangan sama, polis turut menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM945,000 menerusi tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Antara aset disita ialah empat kenderaan terdiri daripada BMW M4, Toyota Vellfire, Honda City Hatchback dan Proton Saga, sebuah motosikal Ezi Ray 01 serta wang tunai RM100,000.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Mei lalu dengan memperoleh bekalan dadah dari negeri lain sebelum memasarkannya untuk pasaran tempatan.
“Kedua-dua suspek direman selama sembilan hari bermula 6 Ogos hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis kini giat mengesan dalang utama sindiket pengedaran dadah itu yang masih bebas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
3
















































