KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Thailand selepas menundukkan pasangan Indonesia, Siti Fadia Ramadhanti-Lanny Tria Mayasari dalam aksi tiga set yang penuh mendebarkan hari ini.
Pasangan ranking keempat dunia itu menampilkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan 21-17, 10-21, 21-15 dalam tempoh 56 minit di Stadium Nimibutr, Bangkok sekali gus menebus kekalahan kepada pasangan sama di pusingan pertama Terbuka Malaysia pada Januari lalu.
“Masih banyak ruang perlu diperbaiki, tapi kami gembira kerana berjaya meraih kemenangan hari ini. Fokus kami sekarang terus kekal konsisten dan buat persiapan rapi untuk aksi seterusnya,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam.
Pilihan utama kejohanan itu dijadual bertemu pemenang antara pasangan China, Chen Qingchen-Wang Ting Ge atau gandingan adik-beradik Thailand, Benyapa-Nuntakarn Aimsaard untuk merebut tempat ke separuh akhir.
Sementara itu, Pearly berkata, mereka tidak terlalu terikut dengan kekalahan lalu di Terbuka Malaysia dan lebih memilih untuk memasuki perlawanan kali ini dengan semangat baharu.
“Kami tak mahu terlalu fikirkan perlawanan lalu sebab itu bukan aksi baik buat kami. Untuk hari ini, kami cuma mahu yakin, saling memberi sokongan dan fokus satu demi satu mata dan ia menjadi,” ujar Pearly.
Pearly-Thinaah turut mengakui setiap gelanggang mempunyai kondisi berbeza dan akan sentiasa memantau keadaan untuk memastikan ia tidak menjejaskan tumpuan mereka.
“Setiap gelanggang ada cabaran tersendiri. Kelajuan bulu tangkis pun berubah-ubah antara hari. Tapi kami tak mahu itu ganggu fokus kami,” kata Thinaah.
Aksi konsisten Pearly-Thinaah di Bangkok terus menyalakan harapan untuk mereka mencabar kejuaraan meskipun ketidaktentuan mengenai masa depan bersama skuad kebangsaan masih membayangi. – KOSMO! ONLINE