Barista cari Hamzi Qayyum ‘terbayar’ RM360, harga sebenar RM36

6 hours ago 3

PETALING JAYA – Seorang barista yang juga pengusaha gerai kopi di Jalan Taman Melawati, Kuala Lumpur mencari seorang pelanggannya yang tidak sengaja membayar harga minuman sebanyak RM360, sedangkan jumlah sepatutnya ialah RM36.

Menerusi satu hantaran Thread Farid Mustafa, barista tersebut yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran menceritakan, kejadian itu berlaku pada semalam.

“Semalam ada ‘customer’ (pelanggan) yang buat pembayaran melalui QR di gerai Silent Brew. Jumlah sepatutnya RM36, tapi yang masuk adalah RM360.

“Saya tak pasti sama ada ini memang niat infak atau tersalah tekan. Kalau ada sesiapa yang rasa ini mungkin anda, atau kenal siapa-siapa yang pernah singgah semalam, boleh DM (mesej) saya untuk urusan semakan dan pemulangan.

“Saya hargai setiap sen yang disumbangkan, tapi saya juga bertanggungjawab untuk pastikan tiada yang terbeban tanpa sengaja,” katanya pada hantaran itu hari ini.

Menerusi ruangan komen, dia memaklumkan telah mengasingkan baki daripada lebihan bayaran dibuat oleh pelanggan tersebut.

“Saya dah asingkan duit tu saya takut terguna. Tak lena tidur saya memikirkan, tu yang saya cari dia semula. Harap dia ternampak lah Thread. Hamzi Qayyum (nama pembayar).

“Masa nak ‘closing’ (tutup akaun) dan buat kira ‘sale’ (jualan) semalam pun terkejut ‘check’ (periksa) akaun bank. Saya rasa serba salah tak sedap hati,” katanya.

Menerusi ruangan komen, ramai menyifatkan kemungkinan pelanggan tersebut tidak sengaja tertekan angka sehingga RM360 untuk membuat pembayaran selain ada yang memuji Farid kerana kejujurannya.

“Tak apa, nanti dia perasan dia akan datang balik. Mungkin boleh sampai berbulan, sebab macam saya, setiap bulan akan cetak kenyataan akaun dan debit untuk staf buat akaun,” komen Atma Kejora.

“Tak infak tu. Dia tertekan dengan laju dan tak perasan,” kata MK Fizie.

“Respect perniaga jujur,” kata Asy Sen Pai. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |