ACLE: Peluang JDT lunas dendam

2 hours ago 3

IMPIAN Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencipta sejarah ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) buat pertama kali sedikit berliku selepas dijadualkan menentang kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima pada pusingan 16 terbaik, bulan depan.

Selepas berakhir saingan liga Zon Timur kelmarin, skuad Harimau Selatan sah menamatkan kedudukan di saingan keenam dan bakal menentang Hiroshima yang berada di kedudukan ketiga.

Di atas kertas, tahap JDT dan Hiroshima tidak begitu jauh terutama selepas membuktikan keupayaan mereka menewaskan kelab berpengaruh Liga Jepun, Vissel Kobe pada aksi terakhir, Selasa lalu.

Malah, ini juga peluang terbaik buat skuad kendalian Xisco Munoz itu membalas dendam selepas tewas 1-2 kepada Hiroshima dalam saingan peringkat liga, awal bulan ini selepas beraksi dengan 10 pemain lebih 70 minit apabila Jonathan Silva dilayangkan kad merah.

Sekiranya berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan meraih keputusan positif di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi pertama nanti, peluang JDT untuk berada dalam kelompok lapan kelab terbaik Asia sangat cerah.

Namun, satu cabaran buat JDT ketika ini adalah perlawanan tersebut bakal berlangsung pada 3 Mac depan dan kemungkinan besar mereka tidak dapat menggunakan tiga khidmat pemain berdarah warisan Harimau Malaya seperti Joao Figueredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal nanti.

Situasi disebabkan tiga pemain ini sedang menanti keputusan rayuan rasmi yang akan diputuskan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 26 Februari depan susulan isu pemalsuan dokumen selepas diberikan penangguhan selama sebulan.

Sejak Figueredo dan Hevel kembali beraksi, prestasi JDT dilihat semakin konsisten dengan Munoz dapat mencatur taktikal terbaik untuk memastikan Harimau Selatan tampil garang di atas padang.

Jika keputusan CAS memihak kepada pemain warisan negara, JDT akan memiliki skuad penuh untuk menentang Hiroshima sekali gus mencerahkan peluang untuk menyingkirkan kelab gergasi Jepun itu nanti.

Read Entire Article
Pertanian | | | |